SHAH ALAM: Isu dana politik yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri
Mohd Najib Razak mencetuskan kontrovesi kerana ia turut dikaitkan
dengan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemudian
diperbesarkan oleh media sosial, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno,
Tan Sri Syed Hamid Albar.
Menurut beliau, jika ia dimasukkan sebagai sumbangan untuk Umno, maka
dana itu tidak akan menjadi isu besar kerana ia adalah urusan dalaman
parti berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu berkata,
situasi kini lebih berkisarkan kepada 'perang persepsi' kerana
pelbagai isu bercampur aduk dan saling berkaitan.
"Soal pembiayaan politik ini tidak menjadi masalah. Soalnya isu
sekarang ini telah bercampur aduk dengan lain-lain isu dan tuduhan.
"Kalau (berkisarkan) pembiayaan politik saja, saya fikir ia tidak patut
menimbulkan apa-apa masalah. Keduanya, jumlah dana itu besar. Kemudian
pula dikaitkan ia duit 1MDB. Dan kemudian mengikut ada pemimpin (Umno)
mengatakan mereka tidak tahu dana parti, lagilah orang ramai penuh tanda
tanya dan persoalan," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
Syed Hamid menambah, 'kuasa' media sosial yang menjadi agen penyebar
maklumat menghangatkan lagi isu berkenaan, dan ia sedikit berbeza dengan
zaman presiden Umno sebelum ini.
"Ia jadi bahan perbahasan. Ahli-ahli Umno pun sekarang macam
berbeza..Saya tak pernah tengok pemimpin Umno, lagi-lagi yang tertinggi
dipersoalkan semacam itu. Ia menjadi perdebatan di khalayak ramai.
"Tidak seperti zaman sebelum ini, perkara seperti ini tidak ada siapa
pun tahu. Bila sudah jadi macam ini, ahli persoal, mantan presiden
persoal, tambah pulak ia bukan hanya mengenai pembiayaan politik tetapi
dikaitkan dengan 1MDB.. Jadi ia bercampur aduk," katanya.
Dana RM2.6 bilion dikaitkan dengan 1MDB oleh akhbar Wall Street Journal
bulan lalu, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi yang menjadi
modal untuk pembangkang dan pengkritik menyerang Najib. Namun, selepas
siasatan di jalankan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan
dana itu sumbangan pihak tertentu dari Timur Tengah dan bukan wang
1MDB.
Najib sudah pun memulakan tindakan undang-undang ke atas WSJ setelah
memberi perakuan beliau tidak menggunakan wang itu untuk sebarang
kepentingan peribadi.
Ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang
semalam, Najib menegaskan beliau tidak pernah mempersoalkan presiden
Umno mengenai pembiayaan atau soal dana parti sewaktu menjadi Timbalan
Presiden mahupun Naib Presiden Umno.
"Ini amalan dalam parti dan kita teruskan amalan parti," kata Najib
yang seterusnya meminta ahli parti meyakini bahawa sebarang tindakannya
adalah untuk kebaikan parti.
Syed Hamid berkata kenyataan Najib perlu di susuli dengan satu lagi
penerangan jelas mengenai dana RM2.6 bilion itu untuk meleraikan
sebarang kekusutan di peringkat akar umbi parti dan rakyat.
"Beliau kena jelaskan. Kalau tidak jelaskan, lagi banyak persepsi dan
andaian orang buat," kata Syed Hamid yang menjadi ahli jemaah menteri
di bawah teraju Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi sebelum
dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan