Sabtu, 1 Ogos 2015

Budak 12 tahun dibelasah penjaga rumah kebajikan

Budak 12 tahun dibelasah penjaga rumah kebajikan
Rumah kebajikan berkenaa disita JKM petang semalam. Gambar kecil: Kesan lebam di bahagian belakang badan mangsa.
 
 
SEMENYIH – Hanya kerana dituduh mencuri wang sebanyak RM3, seorang penghuni rumah kebajikan di sini didakwa disebat dengan tali pinggang berulang kali hingga lebam dan cedera.

Mangsa berusia 12 tahun itu dikatakan dibelasah oleh penjaga rumah tersebut dalam keadaan meniarap dengan keadaan kaki dan tangan dipegang rakannya.

Kejadian berlaku lewat malam 2 Julai lalu itu bagaimanapun hanya diketahui pihak sekolah apabila kanak-kanak lelaki mengadu perkara tersebut kepada gurunya sehari selepas kejadian.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2, Datuk Paduka Azami Mohamed berkata, mangsa dipukul kira-kira jam 11.30 malam kerana didakwa mencuri wang milik penghuni lain di pusat kebajikan tersebut.

“Esoknya mangsa menunjukkan kesan birat dan pukulan yang penuh di bahagian belakang badan kepada gurunya. Selepas kejadian itu, saya dapat tahu ada beberapa penghuni lain yang mengadu mereka juga pernah dicabul oleh penjaga pusat kebajikan tersebut.” katanya.

Majoriti mengaku pernah didera, kena cabul

Azami berkata, disebabkan tiada apa-apa tindakan diambil selama lebih tiga minggu, beliau yang bimbang nasib penghuni rumah kebajikan persendirian itu mengadu apa yang berlaku kepada Adun Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz kelmarin.

“Semalam selepas aduan dibuat, saya diberitahu kesemua 32 penghuni rumah itu dipindahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Langat ke Jalan Reko manakala rumah kebajikan itu diarah tutup serta-merta,” katanya.

Susulan kejadian, Azami berkata, PIBG mengadakan pertemuan dengan penghuni berusia tujuh hingga 12 tahun yang bersekolah di situ dan majoriti mengaku mereka pernah didera dan mengalami gangguan seksual.

Beliau berkata, pembongkaran hasil risikan selama setahun itu adalah untuk menyelamatkan penghuni rumah kebajikan tersebut daripada terus menjadi mangsa.

Sejak semalam katanya, mangsa dan adiknya yang berasal daripada keluarga miskin diambil bapa kanak-kanak itu dan dibawa ke Hulu Selangor.

Sementara itu, Johan menyerahkan kepada pihak polis dan JKM untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, menerima maklumat daripada PIBG yang memberitahu terdapat beberapa kanak-kanak yang membuat pengakuan didera.

“Ini bukan satu-satunya kes yang berlaku di rumah kebajikan, ada banyak yang dibuka tanpa kelulusan, saya minta kementerian berkenaan buat pemantauan dan ambil tindakan penguatkuasaan terhadap pusat kebajikan seperti ini,” katanya.

Menurutnya, tidak perlu menunggu sehingga ada berlaku kes penderaan, gangguan seksual atau kecederaan hingga menyebabkan penghuni meninggal dunia barulah tindakan diambil.

“Banyak sangat rumah kebajikan dibuka tanpa pemantauan, banyak kelemahan dikenal pasti. Kementerian perlu sediakan garis panduan dan ambil serius hal ini,” katanya.

JKM sita pusat jagaan

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Roziah Osman yang dihubungi Sinar Harian memberitahu, pihaknya mengambil tindakan Lak (sita) di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 terhadap pusat kebajikan terbabit.

Premis digunakan untuk pusat jagaan disita manakala barangan berkaitan termasuk dokumen dirampas untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

Beliau berkata, kesemua kanak-kanak yang menghuni rumah tersebut diselamatkan malam kelmarin dan ditempatkan di bawah jagaan JKM.

Seramai 10 orang daripada kanak-kanak pula dibawa pulang oleh keluarga masing-masing selepas dihubungi.

“Hari ini (semalam) kita datang ke rumah kebajikan tersebut untuk tujuan ambil tindakan penguatkuasaan bukan untuk siasatan kes dera. Pihak pengurusan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 akta yang sama kerana tidak mendaftar,” katanya.

Beliau berkata, premis diarah menutup operasi dan diberi notis selama selama 21 hari.

“Lak hanya dibuka sekiranya pengendali dapat kemukakan perakuan pendaftaran pusat  jagaan kepada JKM atau sekiranya mereka mendapat satu perintah mahkamah untuk tidak membenarkan penggunaan premis sebagai pusat jagaan,” katanya.


Tiada ulasan: