Rabu, 19 Ogos 2015

BNBBC mahu jumpa TPM, nafi 20 MP BN terlibat guling kerajaan

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Majlis Ahli Parliman Barisan Nasional (BNBBC) akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan penglibatan seramai 20 ahli parlimen BN dalam komplot menggulingkan kerajaan.
 
Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, dalam pertemuan itu berkenaan, pihaknya akan mengutarakan pandangan dan berbincang mengenai dakwaan berkenaan bersama Zahid.
 
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata,  pihak tidak bertanggungjawab itu khususnya blogger telah memanipulasi pendedahan Zahid, dan mereka-reka cerita kononnya seramai 20 ahli parlimen BN dikatakan terlibat dengan gerakan berkenaan.
 
"Seolah-olah mereka tahu.. TPM tak cakap pun berapa orang (yang terlibat). Memang dari segi keperluan kalau nak dilakukan memang 42 (ahli parlimen) daripada ahli pembangkang yang sedia ada setelah ditolak bilangan PAS.. 
 
"Itu kiraan orang.. Tapi yang sebenarnya yang 20 ahli parlimen ini tak ada," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
 
Shahrir juga mengesahkan tidak ada seorang pun di kalangan ahli parlimen BN yang dihubungi atau menghubungi mana-mana pihak mengenai soal melompat parti.
 
"Ianya merupakan satu dakyah yang walaupun dikatakan datang tercetus apabila TPM membawa berita adanya gerakan sedemikian, ia tak libatkan MP BN yang saya tahu sikap mereka dan pendirian mereka mengenai soal kepimpinan PM hari ini," kata beliau.
 
Zahid pada Sabtu lalu mendedahkan komplot yang dikatakan didalangi seorang tokoh Umno bagi mengatur gerakan menggulingkan kerajaan melalui cara undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan wakil rakyat pembangkang.
 
Menteri Dalam Negeri itu berkata, ini bertujuan untuk membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 pada Oktober ini.
 
Susulan pendedahan itu, timbul dakwaan di blog dan media sosial mengatakan seramai 20 anggota parlimen BN terlibat dalam gerakan berkenaan.
 
Antara ahli parlimen yang dikaitkan ialah Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baharu), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan), Normala Abdul Samad (Pasir Gudang) dan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong). 
 
Ujar Shahrir, beliau tidak menafikan ada kalanya perbezaan pendapat berlaku di kalangan ahli parlimen BN dengan pihak kerajaan namun ia bukan menjadi faktor sehingga mendorong penglibatan mereka dalam komplot berkenaan.
 
Justeru, beliau sekali lagi mengulangi gesaan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas agar tiada lagi tuduhan tidak berasas disebarkan di dalam blog dan juga media sosial.
 
"Kami desak SKMM untuk siasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas kerana bila melibatkan ahli parlimen, kami rasa ia satu cabaran kepada institusi parlimen itu sendiri dan tak boleh jadi mainan mana-mana pihak," katanya.
 
 

Tiada ulasan: