BACHOK - Kelicikan sepasang suami isteri yang menjalankan aktiviti
mencuri duit tabung masjid sejak beberapa bulan lalu akhirnya tumpas
apabila mereka ditangkap penduduk ketika kembali untuk 'mengail' duit,
semalam.
Pasangan ini dicekup di Masjid Mukim Melawi, dekat sini, sekitar jam 6 petang.
Modus operandi mereka membawa bersama tiga anak berusia setahun hingga enam tahun ke masjid untuk mengaburi mata jemaah.
Pasangan berusia 30-an itu sebelum ini berpura-pura alim singgah ke
masjid menaiki motosikal sebelum berwuduk, solat dan membaca yasin.
Penghulu Mukim Melawi, Mat Lazim Mat Ya, berkata, kegiatan pasangan itu
dikesan penduduk sejak Mei lalu apabila perbuatan mereka berjaya
dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di dalam
masjid berkenaan.
Menurut Mat Lazim, pasangan ini dipercayai telah melakukan kegiatan mencuri di masjid berkenaan lebih lima kali.
“Mereka berlagak alim dengan memakai sedang jubah, singgah wuduk,
solat dan berpura-pura membaca Yasin bagi mengaburi mata jemaah sebelum
bertindak mencuri tabung masjid ketika orang tak ada.
“Rakaman menunjukkan mereka mengail sebanyak mungkin duit daripada
tabung sehinggalah ada orang masuk ke masjid dan pernah sehingga salah
seorang daripada anak mereka tertidur kerana menunggu terlalu lama,”
katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, pagi tadi.
Menurutnya, rakaman juga menunjukkan suami isteri itu ‘mengail’ duit
dalam tabung menggunakan peralatan khas dan gam tikus yang dibawa
bersama, manakala anak-anak mereka pula bertindak sebagai pengawal
kawasan untuk memaklumkan jika ada orang masuk ke dalam masjid.
Mat Lazim berkata, semalam apabila penduduk melihat suspek ke masjid
menaiki motosikal, mereka segera menangkap suspek sebelum menunjukkan
rakaman CCTV yang menyebabkan suspek mengaku jenayah yang dilakukan.
Katanya, suspek yang berasal daripada Kuala Krai dan menyewa di Bachok
mengaku menjalankan kegiatan mencuri selepas waktu Asar kerana ketika
itu masjid agak lengang.
Beliau berkata, selepas panik diserbu penduduk, isteri suspek juga
dipercayai menyorokkan gam tikus yang dibawa ke dalam kain telekung
wanita.
"Bau kuat gam itu dikesan seorang jemaah wanita yang mahu menunaikan
solat Maghrib semalam. Dia menjumpai gam itu berbalut dalam kain
telekung dan menyerahkannya kepada ahli jawatankuasa masjid.
"Namun, kami tak buat laporan polis kerana mereka ditangkap sebelum
sempat mencuri. Kami yakin dengan kejadian ini mereka tidak akan berani
lagi mencuri di masjid. Lagipun, penduduk kini semakin berwaspada dengan
kegiatan mencuri di sekitar kampung ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul
Hamid Che Ahmad memaklumkan tiada laporan polis dibuat penduduk mengenai
kejadian itu.
Namun, suspek ditahan untuk siasatan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan motosikal curi.
Sabit kesalahan, OKT (orang kena tangkap) boleh dijatuhkan hukuman
penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan