PETALING JAYA – Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendengar rayuan dan keluhan pemandu teksi terhadap kegiatan teksi haram ‘grab car’  yang semakin berleluasa sehingga menggugat periuk nasi mereka.

Pengerusinya, Amran Jan berkata, pelbagai aduan telah diajukan kepada pihak SPAD dan  Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia (SKMM) sebelum ini, namun  tiada tindakan susulan diambil.

“Kami mahu SPAD mengambil  tindakan terhadap operasi teksi haram yang secara jelas melanggar peruntukan undang-undang.

“Operasi teksi haram ini telah merampas penumpang dan periuk nasi pemandu teksi berdaftar. Seharusnya SPAD bertindak  berani mempertahankan kebajikan pemandu teksi yang berdaftar ini,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih  dikesali  adalah sikap sambil lewa pihak berkuasa yang saling menolak keluhan yang diajukan pemandu teksi berhubung isu terbabit.

"Apabila kami pergi ke SPAD, kami  disuruh pula merujuk kepada SKMM. Sampai di SKMM diarahkan pula merujuk SPAD kembali. Perkara ini berterusan membuatkan kami buntu mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Jelasnya, akibat sikap sambil lewa pihak berkuasa menangani isu ini, rata-rata pemandu teksi berdaftar mengeluh pendapatan mereka merosot sehingga  60 peratus.

“Banyak laporan polis mengenai operasi teksi haram  telah dibuat. Dalam tempoh dua ke tiga  bulan ini sahaja kami telah membuat beberapa laporan polis.

“Kami ada bukti mereka ini menggunakan kenderaan peribadi untuk beroperasi.

Bagaimanapun, jika dapat dikesan  mereka ini tidak akan mengaku beroperasi sebagai teksi haram, ” katanya.

Susulan itu, menurut Amran satu laporan polis telah dibuat pihaknya ekoran tindakan pemandu teksi haram yang bertindak kasar kepada pemandu teksi berdaftar dalam kejadian di First Avenue, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lambakan teksi haram bukan sahaja menggugat pendapatan pemandu teksi bahkan membahayakan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu.