shahbudindotcom
Sejauh
mana penglibatan Nazir Razak iaitu adik kepada Perdana Menteri, Najib
Razak dalam penubuhan sebuah parti politik baru yang kini menjadi
perbualan ramai, masih tidak dapat dipastikan secara tepatnya lagi.
Mengikut
laporan portal berita Asia Sentinal, Nazir yang kini Pengerusi Kumpulan
CIMB sedang giat mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh perniagaan
di Kuala Lumpur dan United Kingdom bagi membincangkan rancangan itu
dalam usaha menamatkan era politik perkauman yang memecah-belahkan
rakyat.
Apakah
beliau terlibat secara langsung dalam kepimpinan utamanya, sekadar
penggerak di belakang tabir atau bakal menjadi penyumbang dana utamanya
saja.
Apa
pun penglibatan Nazir dalam sebuah parti baru di ketika abangnya
menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, ia adalah mesej yang jelas
bahawa keluarga Tun Razak mulai berpecah dan mahu menjauhkan diri
daripada kepimpinan Najib yang semakin ditolak rakyat.
Penglibatan
Nazir dalam parti baru ini sudah tentu jauh berbeza kesannya dengan
Kadir Sheikh Fadzir yang menubuhkan Ikatan sedangkan beberapa adiknya
masih berada dalam UMNO atau perbezaan wadah perjuangan yang menjadi
pilihan antara Shahrir dengan Khalid Samad selama ini.
Ini
kerana kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri yang sedang berdepan
dengan pelbagai masalah serta tekanan ketika ini bukan saja memerlukan
sokongan daripada rakyat dan ahli UMNO, malah lebih mustahak ialah
daripada ahli keluarga sendiri.
Sokongan
keluarga dan adik-beradik adalah penting serta boleh dianggap tangkap
azimat bagi menambahkan lagi kekentalan jiwa seorang Perdana Menteri dan
ini tidak sama dengan adik-beradik Kadir Sheikh yang hanya menjadi
Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen, begitu juga dengan Shahrir yang
sekadar pernah menjadi menteri sahaja.
Tetapi
dengan adik kepada Presiden UMNO dan Perdana Menteri sendiri berbeza
pendapat, malah berhasrat menubuhkan sebuah parti baru pula, ia adalah
mesej yang terang lagi nyata bahawa keluarga sendiri enggan menyokong
dan tidak mahu bersama-sama dengan kepimpiman abang sendiri.
Sekiranya
berita ini benar dan menjadi kenyataan, sudah tentu pakcik tua di
kampung dan makcik-makcik Felda mulai keliru dan rapuh sokongannya
terhadap Najib dan juga kepada UMNO dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanakah
mereka mahu terus menyokong Najib dan UMNO sedangkan ada
adik-beradiknya sendiri pun sedang mencari haluan lain untuk menjauhkan
diri?
Tindakan
Nazir dalam penubuhan sebuah parti baru secara umumnya tidaklah
memeranjatkan kerana beliau sebelum ini sudah beberapa kali menunjukkan
perbezaan pendapatnya dengan Najib, khususnya berkaitan isu 1MDB.
Beliau
pernah mengkritk Ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang hanya berdiam diri di
sebalik pelbagai dakwaan timbul mengenai syarikat itu. Beliau juga
mengkritik ketidakhadiran Arul Kanda dalam proses pendengaran dengan
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC dan baru-baru ini pula
melahirkan kehairanannya kerana perlantikan audit bagi akuan berakhir
Mac 2015 bagi 1MDB masih belum dilakukan lagi.
Ketika
timbul isu perbelanjaan mewah Rosmah Mansor dengan perhiasan mahal dan
barangan berkelip-kelip yang cuba dikaitkan dengan harta pusaka Tun
Razak, Nazir bersama abang-abangnya yang lain, kecuali Najib, turut
sepakat mengeluarkan kenyataan bersama menolak dakwaan tersebut sambil
mengatakan bapa mereka iaitu Perdana Menteri kedua adalah seorang yang
amat sederhana dan berintergriti dalam kehidupan.
Tidak
dapat disangkal bahawa dengan penglibatan dalam penubuhan parti baru
ini, sama ada secara langsung atau tidak, Nazir bukan saja sedang
menghantar mesej agar rakyat tidak lagi menyokong UMNO, malah yang lebih
penting ialah mahu supaya Najib segera ditukar sebagai Perdana Menteri
dengan apa cara sekali pun.
Barangkali
setelah melakukan beberapa kritikan melalui media sosial bergambar,
Instagram miliknya dan mungkin juga sudah memberi pandangan secara
kekeluargaan kepada Najib agar berundur dan akur dengan kehendak rakyat
yang semakin tidak puas hati dengan kerajaan pimpinannya, tetapi tidak
juga mendatangkan kesan, lalu menghantar mesej melalui penubuhan parti
baru ini adalah pilihan terakhir yang cuba dilakukannya demi perubahan
dan kebaikan kepada negara.
Maka, semakin tiada alasan lagi untuk terus mengekalkan Najib dan keluarganya menghuni lebih lama di Seri Perdana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan