JOHOR BAHRU - Penasihat DAP, Lim Kit Siang membayangkan tiada lagi PR dalam tempoh dua minggu lagi.

Menurutnya, dengan situasi semasa melibatkan parti-parti dalam PR kini disifatkan sebagai hanya untuk melihat pakatan dikuburkan.

"Hari ini, dalam Muktamar Pas ke-61 meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan hingga kini dalam PR, tiada sebarang perbahasan.

"Dengan gerakan dalam Muktamar Pas, politik Malaysia sudah memasuki keadaan yang keruh dengan kesan serta-merta.

"Di Pulau Pinang, keputusan Muktamar Pas akan menyebabkan perkara mustahil untuk wakil Pas meneruskan gerak kerja di pelbagai peringkat dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang," katanya yang dipetik dalam blog.limkitsiang.com.

Senario sama juga digambarkan ketika pilihan raya umum nanti, terutamanya di Selangor.

Kit Siang berkata senario teruk bakal juga berlaku iaitu Pilihan Raya Negeri Selangor.

"Amat sukar untuk bercakap bagaimana perkembangan politik akan membangun pada masa akan datang, tetapi sama ada, ada PR atau tidak, rakyat Malaysia perlu tetap, konsisten dan setia kepada matlamat keadilan, kebebasan dan maruah bangsa yang mereka aspirasi dan pilih pada PRU13.

"Itu sebab saya datang bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah untuk merealisasikan impian Malaysia di mana rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan wilayah bersatu untuk membina Malaysia sebagai negara yang hebat menerusi politik, sosio ekonomi, pendidikan dan pembaharuan pembinaan negara," katanya.

Beliau berkata, pertarungannya di Gelang Patah semasa PRU13 bukan sekadar untuk satu kerusi Parlimen, tetapi untuk mengajak masyarakat di Gelang Patah bersama dalam tsunami politik di Johor dan Malaysia sekali gus membawa perubahan politik di negara ini.

"PR berjaya menang 53 peratus undi popular, namun dinafikan oleh majoriti kerusi di Parlimen dan kuasa Persekutuan di Putrajaya.

"Kini (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) berjaya melihat kemusnahan PR. Bagaimanapun, sama ada, ada PR atau tidak, Impian Malaysia perlu diteruskan.

"Untuk memastikan impian Malaysia terus dikejar, sama ada, ada PR atau tidak, binalah masa depan yang cerah kepada generasi akan datang," katanya.