RANTAU PANJANG - Yang Dipertua (YDP) Pas Rantau Panjang, Abdul Fatah
Harun yakin penubuhan parti politik atas dasar kecewa dan tidak berpaksi
pada dasar perjuangan adalah tidak relevan serta tidak boleh diterima
pengundi masa kini.
Malah katanya, hampir semua parti serpihan akan ‘mati tak berkubur’ berdasarkan peristiwa sebelum ini.
“Lihat sahaja parti Akim (Angkatan Keadilan Insan Malaysia) yang
ditubuhkan bekas YDP Pas Pasir Puteh, Musa Salleh dan Barisan Bebas
Bersatu ditubuhkan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Mohamad Fakhruddin
Abdullah yang tidak bertahan lama.
“Walaupun Fakhruddin meletakkan calon bebas di semua peringkat Dun dan
sebahagian besar Parlimen seluruh Kelantan, namun mereka kalah kepada
calon BN termasuklah ketuanya,” katanya.
Kata Abdul Fatah yang juga bekas Adun Bukit Tuku, walaupun penubuhan
parti serpihan itu mempunyai matlamat tersendiri, namun belum dapat
meyakinkan pengundi.
Menurutnya, dengan tertubuhnya Pasma, mungkin akan memberi kesan sama sepertimana parti serpihan lain.
Katanya, pada peringkat awal penubuhan, sememangnya kelihatan hebat
dengan pelbagai kenyataan di media massa dan elektronik, bagaimanapun
masa depan parti politik serpihan itu dijangka tidak berpanjangan.
“Ia bukanlah disebabkan kredibiliti tokoh parti itu, sebaliknya
perjuangan dilihat kurang relevan dan tidak membawa mereka ke mana-mana.
“Saya nasihatkan sesiapa yang mahu menubuhkan sesebuah parti politik,
berfikir panjanglah. Ambil iktibar berdasarkan nasib penubuhan parti
politik serpihan yang berkubur sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, kata Abdul Fatah, lain yang berlaku kepada Parti Gerakan
Rakyat Malaysia hasil serpihan MCA, yang masih kukuh sehingga sekarang
kerana bersandarkan kepada BN.
Menurutnya, jangka hayat PKR pula lebih panjang kerana bergabung di
bawah Pakatan Rakyat, namun beliau yakin PKR juga pasti berkubur
sekiranya tidak bernaung dalam pakatan.
Katanya, begitu juga dengan parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia
(Berjasa) apabila berjaya menumbangkan kerajaan Pas apabila mereka
bergabung dengan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan