MALAYSIAKINI
Seorang pemimpin utama pemisah Ukraine mengesahkan bahawa pemberontak
pro-Rusia itu mempunyai peluru berpandu anti-pesawat dari jenis yang
dikatakan oleh Washington telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat
MH17.
Dalam temubual dengan Reuters, Alexander Khodakovsky, komander
batalion Vostok, mengakui, buat pertama kalinya sejak pesawat itu
ditembak jatuh di timur Ukraine pada hari Khamis, bahawa puak pemisah
memang memiliki sistem peluru berpandu BUK.
Beliau juga membayangkan BUK itu mungkin berasal dari Rusia dan mungkin
telah dihantar balik untuk menghapuskan bukti kehadirannya.
Sebelum pesawat Malaysia itu ditembak jatuh, puak pemberontak telah mewarwarkan memiliki peluru berpandu BUK, yang boleh menembak jatuh
pesawat di ketinggian penerbangannya. Tetapi selepas nahas tersebut,
puak utama pemisah itu, dari Republik Rakyat Donetsk, telah berulang
kali menafikan pernah memiliki senjata itu.
Sejak nahas tersebut yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak
kapal MH17, isu utamanya ialah siapakah yang melepaskan tembakan peluru
berpandu yang menjatuhkan pesawat itu di kawasan di mana tentera
kerajaan memerangi pemisah pro-Rusia.
Khodakovsky menyalahkan pihak berkuasa Kiev kerana memprovokasi mengenai
peluru berpandu yang terkena pesawat itu, dengan berkata Kiev sengaja
melancarkan serangan udara di kawasan itu, kerana mengetahui terdapat
peluru berpandu di tempat itu.
"Saya tahu BUK itu datang dari Luhansk. Pada masa itu, saya diberitahu
bahawa sebuah BUK dibawa dari Luhansk di bawah bendera LNR," katanya
merujuk kepada Republik Rakyat Luhansk, kumpulan pemberontak utama yang
beroperasi di Luhansk, satu daripada dua wilayah ang dikuasai
pemberontak di samping Donetsk, wilayah di mana nahas itu berlaku.
"BUK itu saya tahu. Saya dengar mengenainya. Saya fikir mereka
menghantarnya balik. Kerana saya tahu mengenainya pada masa yang sama
saya mendapat tahu tentang nahas itu. Mereka mungkin menghantarny balik
untuk menghapuskan bukti kehadirannya," kata Khodakovsky kepada Reuters
pada hari Selasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan