Loke
(tengah) bersama wakil rakyat DAP yang lain menunjukkan notis Sidang
Dun yang diterima mereka ketika sidang media di Ibu Pejabat DAP negeri,
kelmarin.
SEREMBAN – Wakil rakyat pembangkang mendakwa Sidang Dun April ini tidak masuk akal kerana berlangsung hanya sehari.
Ketua pembangkang, Anthony Loke berkata, notis persidangan yang diterima wakil rakyat minggu lalu memaklumkan Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua Dun yang ke-13 akan berlangsung pada Jumaat, 11 April untuk istiadat perasmian, manakala 14 April pula untuk persidangan yang bermula jam 10 pagi.
“Pada 11 April itu, biasanya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir akan bertitah dan tiada sebarang agenda, perbahasan dan juga persidangan.
"Persidangan hanya akan dilakukan pada Isnin (14 April) dimana ada perbahasan titah ucapan diraja, sesi perbahasan soalan lisan dan bertulis serta sesi pergulungan oleh Menteri Besar," katanya.
Menurutnya, tempoh sehari yang diperuntukkan untuk persidangan kali ini nyata tidak cukup, malah tidak masuk akal.
“Sepanjang 10 tahun saya menjadi wakil rakyat di negeri ini, belum pernah Sidang Dun dilakukan sehari.
“Kita amat kecewa dengan perkara ini kerana Sidang Dun merupakan forum untuk membincangkan masalah rakyat. Hal ini menunjukkan Speaker dan kerajaan BN tidak serius terhadap persidangan serta masalah rakyat yang perlu dibahas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP negeri, di sini, kelmarin.
Loke turut menyifatkan, Sidang Dun negeri ini sebagai yang 'tercorot' berbanding sidangan Dun negeri lain.
“Sidang Dun kita bukan saja tidak mara ke depan, malah semakin teruk ke belakang berbanding di negeri lain. Dari segi agenda perjalanan persidangan Dun negeri ini amat teruk sekali.
“Ambil contoh di Selangor di mana Sidang Dun mereka berlangsung selama dua minggu. Di Melaka pula berlangsung selama empat hari tetapi di negeri ini yang wakil rakyatnya lebih ramai daripada Melaka hanya berlangsung selama sehari sahaja. Ia tidak logik dan tidak masuk akal,” katanya.
Loke berkata, tindakan kerajaan BN itu seolah-olah tidak menggalakkan perbincangan masalah rakyat dalam persidangan Dun negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan