THE MALAYSIAN INSIDER
Saya menulis surat ini kepada Tuan doktor selepas saya membaca beberapa
petikan daripada kenyataan Tuan di akhbar dan media internet. Entah
mimpi apa tiba-tiba Tuan kembali bersuara setelah sekian lama bagai diam
bertapa.
Rasanya sudah lama Tuan tidak bersuara. Kali terakhir kita bertemu kira-kira enam tahun lalu di Permatang Pauh.
Sewaktu Tuan duduk bersendirian, saya memberanikan diri untuk berteman
bicara dengan tuan. Tidak mengapa jika Tuan tidak mengingati saya. Itu
tidak penting.
Yang penting waktu itu, Tuan menyebut bahawa tuan tidak menolak hadis
kecuali hadis palsu. Sayapun setuju. Tuan juga menyebut bahawa Tuan
tidak anti hadis.
Bahkan Tuan menyebutkan bahawa perlunya al-Quran dijadikan rujukan. Itupun tiadalah siapa yang ingin menyangkalnya.
Di penghujung bicara kita waktu itu, Tuan sangat menghargai kepimpinan
Fadzil Mohd Noor. Akupun teruja mendengarnya. Walaupun dalam masa yang
sama Tuan juga menghargai kepimpinan Dr Mahathir Muhamad.
Tuan berasa cukup jelek dengan politik Umno. Waktu itu. Saya hanya mencatatkan semua itu dalam kertas otak saya.
Betapa saya sangat menghargai keintelektualan Tuan dalam bidang
kesusasteraan dan politik tidaklah saya berani pada bidang keagamaan
khususnya yang melibatkan persoalan aqidah dan syariah.
Meski kita mempunyai jalur yang sama dalam sastera namun persoalan
agama yang Tuan nyatakan adalah suatu yang sukar dan saya memilih tidak
bersama Tuan.
Saat orang Melayu mendewa-dewakan Hang Tuah bagai wira mereka,
tiba-tiba Tuan dengan berani menongkah arus dan menukilkan bahawa lelaki
tampan itu sebenarnya pengkhianat dan tidak layak dianggap sebagai
wira.
Wira yang menegakkan keadilan adalah Hang Jebat yang beratus tahun mati sebagai penderhaka. Mati penuh kehinaan.
Hidup Tuan penuh pemberontakan seperti hidupnya Hang Jebat. Malangnya
Tuan lupa akan adab susila orang Melayu yang penuh berbudi. Melayu tidak
akan hidup dengan nafas revolusi Bolshevik atau amuk Jebat derhaka.
Melayu ada caranya yang tersendiri.
Saya bukanlah ulama yang boleh mengatur ayat al Quran dan hadis (yang
tentunya yang shahih) untuk menentang hujah Tuan. Saya hanya orang
Melayu yang ingin hidup pada lingkungan Islam yang indah dan harmoni.
Jika kelompok ulama seperti kasta paderi, tentu kelompok pemikir
seperti Tuan berkeinginan membina kasta tersendiri yang belum tahu apa
istilahnya.
Bukan semua ulama akan menjurus kepada kebaikan. Sebab itu Imam Ghazali
membahagikan ulama kepada dua; ulama baik dan ulama jahat. Sewaktu
dulupun, Tuan pernah menjadi pejuang kelas bawahan.
Tetapi tidak wajar untuk Tuan menghukum kelas bourjuis semua sebagai
“mustakbirin” dan kelas proletariat sebagai “mustaafin”. Kejahatan itu
bukan terletak pada kelas atau ilmunya. Memang ada ulama tinggi ilmunya
tetapi hidungnya panjang seperti Pinocchio atau “musang berjanggut”
dalam filem P. Ramlee.
Bagaimanapun, menganggap ulama sebagai suatu kelompok elit dalam agama merupakan kekeliruan yang nyata.
Tuan akan menjadi menjadi fokus nasional. Nama Tuan semakin kerap dalam
media massa hingga memungkinkan orang kita lupa tentang kenaikan harga
barangan, ketegangan antara agama dan kaum dan timbunan permasalahan
nasional, rasuah, hutang negara yang membimbangkan, ketirisan dan
kegagalan kerajaan memerintah.
Orang Melayu akan mengamuk semacam Jebat bila agama dan bangsa mereka
dilihat dihina. Barangkali elok saya peringatkan kembali puisi Usman
Awang, “maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan”.
Pada umumnya,kenyataan Tuan itu satu penghinaan. Kebijaksanaan orang
Melayu akan tenggelam. Orang Melayu akan turun berdemonstrasi, mengecam
dan menghukum Tuan hingga stamina orang Melayu lemah untuk menentang
syaitan besar yang sedang bertakhta menyusun skrip buat sandiwara yang
tidak berkesudahan.
Kerana itu, saya mencadangkan pada rakan-rakan saya yang marah pada
Tuan; jalan yang paling mulia menentang Dr Kasim Ahmad, jangan dirampas
saxophone dari mulutnya tapi bawalah tali gambus keramat kalian!
Harap Tuan memahaminya dan kembali ke pangkuan jalan al Rahman. Amin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan