Khamis, 6 Februari 2014

PRK Kajang: Tolak pihak cetuskan ketegangan kaum dan agama – S Ambiga


ambi

KUALA LUMPUR,: Peguam dan aktivis masyarakat, Datuk S Ambiga menyeru penduduk Kajang agar menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung sebagai platform bagi menolak pihak yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Katanya, pengundi di Kajang perlu menjadi suara mewakili seluruh rakyat Malaysia bagi membantah sentimen kaum dan agama yang semakin kuat dimainkan akhir-akhir ini.

“Saya tertanya-tanya, mengapa insiden (ketegangan) hanya berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Kita perlu sedar bahawa ada kumpulan yang cuba cetuskan masalah.

“Maka pada PRK Kajang nanti, saya minta pengundi di sana bersuara bagi pihak kita semua, dan menolak perkauman dan taksub agama (religious bigotry),” katanya ketika berucap pada forum ‘Serampang Kajang’ di Empire Hotel, Subang Jaya semalam.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu menegaskan, beliau sama sekali tidak cuba untuk memberitahu pengundi untuk memilih parti tertentu dalam PRK yang akan diadakan 23 Mac ini.

“Jika anda puas hati dengan apa yang BN lakukan selepas PRU, maka undilah mereka. Jika anda tidak puas hati dengan Pakatan, jangan undi mereka.

“Saya juga tahu ada yang mahu boikot, ekoran marah kerana perlu mengundi semula. Ia hak anda, tentunya,” katanya kepada ratusan hadirin.

Namun, katanya lagi, beliau meminta agar pengundi melihatnya sebagai peluang kedua sekaligus menyatakan suara mereka berhubung keadaan negara pasca PRU 13.

“Jadi pesanan saya kepada pengundi di Kajang agar menimbang semula, kerana anda boleh bersuara melalui undi anda. Jika ada yang berpolitik dengan cara kotor, ada cubaan membeli undi, tolaklah mereka,” katanya lagi.

Turut menjadi panel semalam adalah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, serta dipengerusikan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad. -Roketkini.com

Tiada ulasan: