Isnin, 17 Februari 2014

Pemandu teksi disyaki bawa suspek bunuh pengasas AmBank dipenjara 14 tahun, 6 sebatan

ANTARAPOS.COM
 
 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pemandu teksi yang dipercayai membawa suspek pembunuhan pengasas kumpulan Ambank, Hussin Najadi, dihukum penjara 14 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan memiliki pistol dan peluru, tahun lalu.
 
Hakim Azwarnida Affandi, menjatuhkan hukuman itu terhadap Chew Siang Chee, 46, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. 
 
Azwarnida dalam penghakimannya, berkata pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan hanya difikirkan kemudian. 
 
Tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan bagi kesalahan memiliki sepucuk pistol jenis Walther Model PPK/S Cal. 9mm Kurz/380ACP bersama satu magazine Walther Cal. 9mm Kurz.
 
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi tuduhan memiliki empat butir peluru hidup tanpa lesen.
 
Hukuman diperintah berjalan berasingan. 
 
Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya. 
 
Pada 3 Oktober lepas, penarik kereta Koong Swee Kwan didakwa terhadap pertuduhan membunuh pengasas itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
 
Koong, 44, turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh isteri mangsa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.
 
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin No. 4 Lorong Ceylon, Daerah Dang Wangi, di sini pada 1.30 tengah hari hingga 2 petang, 29 Julai lepas.
 
Dalam kejadian itu, Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah.

Tiada ulasan: