MALAYSIAKINI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan menafikan beliau akan meletak jawatan kerana didakwa gagal memerangi rasuah.
Katanya peletakan jawatan sebagai menteri tidak boleh dibuat dengan sesuka hati kerana jawatan itu merupakan kepercayaan yang diberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakyat.
"Saya tahu beberapa blog mendakwa saya akan meletak jawatan. Kenapa pula saya nak meletak jawatan? Saya ada misi yang perlu dilaksanakan untuk rakyat dan perdana menteri kerana kepercayan beliau melantik saya," katanya kepada pemberita selepas forum mengenai rasuah di Institut Integriti Malaysia di ibunegara hari ini.
Khabar angin itu timbul berikutan peletakan jawatan P Waythamoorthy daripada jawatannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan sebagai senator, pada hari Isnin.
Waythamoorthy yang mengetuai Persatuan Hindraf Malaysia, menyertai kerajaan selepas PRU13 susulan perjanjian dengan parti pemerintah untuk menjalankan pembaharuan dalam membantu masyarakat India.
Low berkata beliau perlu menunaikan amanah yang diberi kepadanya oleh perdana menteri dan tidak akan mudah mengalah.
"Saya tahu apa yang saya lakukan dan jelas tentang apa yang perlu saya lakukan," katanya ketika mengulas tulisan dalam blog pembangkang bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai menteri.
Penasihat DAP Lim Kit Siang dilaporkan berkata dalam blog pembangkang bahawa Low akan mengikut langkah P. Waythamoorthy, yang meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan senator baru-baru ini.
Dalam kenyataan pada Isnin, setiausaha Hindraf P. Ramesh berkata Waythamoorty meletak jawatan kerana mendapati kerajaan tidak menunaikan janjinya selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Waythamoorthy dilantik sebagai senator dan timbalan menteri selepas Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum itu tahun lepas.
Hindraf menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan BN pada 18 April mengenai usaha menyelesaikan isu sosioekonomi masyarakat India.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan