Selasa, 18 Februari 2014

PAS, kebudayaan, pemuda dan konsert; dari mulut Muhaimin Sulam (Bahagian 1)


muhaiminsulam4 





muhaiminsulam5



TIDAK sukar untuk mencari Dr Muhaimin Sulam jika anda hadir ke program-program PAS. 

Berambut panjang serta berjanggut dan sering pula mengenakan baju kemeja. Namun, tentulah bukan sekadar luaran – beliau juga pernah menghasilkan buku bertajuk ‘Aku Melayu di Kota Inggeris’, catatan pengembaraannya ketika melanjutkan pelajaran Doktor Falsafah di Swansea.

Dalam PAS, beliau memegang jawatan Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS, selain Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Nama beliau muncul di tengah-tengah kehangatan pemilihan dalam Muktamar PAS ke-59 tahun lalu. 

Sebagai tulang belakang Karnival ‘PAS for All’ sempena muktamar, beliau menerima kritikan termasuk ahli-ahli PAS sendiri, serta menjadi peluru Umno menyerang Parti itu.

Semuanya kerana persembahan kumpulan muzik heavy metal yang dilihat keras pada pandangan mereka. Sehinggakan seorang perwakilan Kedah membangkitkannya dalam muktamar, mengatakan ia bukan budaya PAS. Jadi, apakah budaya dan di mana letakknya dalam politik PAS?

Roketkini sempat berbual-bual dengannya Disember lalu, di sebuah restoran masakan Indonesia di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Boleh saudara jelaskan takrifan seni dan hiburan dalam Islam?

Seni berakar daripada kebudayaan. Maka saya pergi kepada kebudayaan dulu. Menurut tafsiran Sosiologis Indonesia, Profesor Dr Kuncoro Ningrat, kebudayaan ada tiga tahap. Pertama, pemikiran atau gagasan, kedua ialah sistem yang dilahirkan daripadai pemikiran atau gagasan itu, dan ketiga adalah aktiviti kesenian.

Jadi kesenian ini adalah aktiviti yang diterjemahkan daripada sistem kehidupan dalam masyarakat, yang dibentuk oleh kepercayaan, pemikiran, idea dan falsafah – tahap pertama kebudayaan yang disebut tadi.

Kesenian itu juga sebahagian daripada manifestasi untuk lahirkan kegembiraan, dan itulah yang disebut sebagai hiburan. Ia adalah fitrah, sebagai manusia kita perlukan hiburan. Jadi jenis macam mana yang boleh memberi faedah kepada masyarakat? Hiburan yang berasaskan kepada sistem kehidupan yang lahir daripada falsafah dan pemikiran itu sendiri.

Jadi takrifan hiburan yang berdasarkan Islam itu adalah yang berakarkan kepada falsafah Islam-lah?

Ya betul. Jika Islam itu ditafsirkan dengan betul, maknanya kesenian itu pun akan jadi kesenian Islam, walau pun kita tak namakannya sebagai ‘Kesenian Islam’ – tapi ia adalah kesenian Islam.

Misalnya sistem pemikiran masyarakat Melayu ada dua – agama (Islam) dan budaya (Melayu). Bagaimana kedua-duanya menterjemahkan kesenian?

Apabila Islam datang ke nusantara, ia telah mengubah sistem pemikiran dan budaya masyarakat pada ketika itu, dan wujudkan tafsiran baru kepada masyarakat Melayu khususnya. Perkara ini ada disebut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Contohnya, Islam telah mempersembahkan satu sistem bahasa Melayu yang kuat, dengan tulisan jawi, kosa kata – ia sumbangan Islam yang tak dapat dinafikan.

Bahasa ini sebenarnya berhubung rapat dengan akidah, sebab itu isu kalimah ‘Allah’ ini ada dikaitkan dengan hujah bahasa sendiri.

Zulkifli Mohamad dalam tulisannya menggambarkan, bahawa tiada pertentangan di antara kebudayaan Melayu dan kebudayaan Islam, kerana Islam berjaya wujudkan satu budaya baru dalam masyarakat Melayu di nusantara.

Contohnya dalam sistem politik, kehadiran Islam menukarkan tanggapan raja sebagai bayangan Tuhan, kepada raja sebagai pemegang amanah pemerintahan.

Cabang seni yang diminati?

Minat saya lebih kepada kesusasteraan. Ketika zaman saya, kerajaan beri ruang kepada sastera dalam sistem pendidikan – ada aliran sastera, berbanding dengan sekarang, di mana sastera tidak diberi ruang sewajarnya.

Jadi saya adalah generasi yang berkesempatan untuk belajar sastera dalam pendidikan formal. ada belajar sastera Indonesia dan Malaysia. Kemudian minat itu dikembangkan ke bidang seni lukis pula.

Faktor utama yang membangkitkan minat saya adalah guru. Saya ada guru yang hebat, iaitu Cikgu Naimah Ali mengajar sastera dan Cikgu Zainol yang mengajar seni lukis. Pada masa itu, saya fikir nak jadi pelukis, nak jadi sasterawan, bukan doktor atau pensyarah. Tambahan pula, saya fikirkan sasterawan dan pelukis sangat diperlukan pada masa itu, pada penghujung tahun 80-an.

Kemudian saya cuba menulis, bermula sedikit demi sedikit. Aktiviti penulisan mempertemukan saya dengan kumpulan-kumpulan kesenian lain. Saya kembangkan seni, supaya ia tidak berada pada takat yang sama sahaja. Ruang dihidupkan.  Alhamdulillah, kini rakan-rakan meliputi pelbagai bidang – daripda penulisan, muzik sehingga filem.

Antara tokoh-tokoh yang dikagumi dan memberi pengaruh?

Kalau seni lukis, (Pablo) Picasso tentunya. Saya pernah melawat galerinya di Sepanyol. Kemudian, pelukis-pelukis lama yang hebat, antaranya Micheangelo. Kalau pelukis Malaysia, Latiff Mohidin-lah.

Ketika masih di tingkatan dua, saya pernah menghantar komik kepada penerbit Gila-gila, Creative Enterprise, tapi tak diterima. Cuma nak beritahu saya memang minat, walau pun tanpa latar belakang.

Peranan saudara sebagai Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS?

Lajnah ini baru tiga tahun ditubuhkan, atas kesedaran bahawa golongan budayawan dan seniman ini adalah segmen yang tertinggal dalam kerangka politik PAS. Selain itu, ramai juga khalayak ini yang memang sudah bersama-sama PAS. Maka ada faktor menolak dan menarik.

Peranan utama ialah kita nak adakan sebanyak mungkin hubungan dengan mereka. Untuk itu, pendekatannya berbeza dengan golongan-golongan lain. Kita juga terus berusaha untuk mengembangkan hubungan kita dengan seniman dan budayawan ini.

Kita juga ada ikatan longgar dengan beberapa kumpulan, antaranya Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kumpulan Kartunis Independen (KKI) dan Seni untuk Perubahan (Super) yang diketuai Ito (Blues Gang) serta Kawan Selebriti yang diketuai penyanyi, Aishah.

Lajnah ini turut adakan perjumpaan dengan kerajaan Selangor untuk berbincang soal kebudayaan dan keseniaan di negeri itu.

Saudara juga dahulu mengetuai Jawatankuasa Kebudayaan dalam Dewan Pemuda PAS. Apa yang dibuat ketika itu?

Ketika itu juga, ia masih baru ditubuhkan. Batu tanda ketika saya pegang jawatankuasa itu adalah Konsert Blues Gang di Taman Melewar, pada 2004. Ia membuktikan bahawa muzik dan ‘live band’ ini tiada masalah dalam PAS.

Adakah konsert itu menerima kritikan, seperti mana Karnival Muktamar PAS ke-59 baru-baru ini?

Tidak seperti Karnival Muktamar. Mungkin pada masa itu, media terutama media sosial belum meluas. Media yang buat liputan ketika itu cuma Harakah, New Straits Times dan China Press.

Berkenaan hubungan seni hiburan dengan PAS – Dewan Pemuda PAS dilihat sangat tidak mesra dengan hiburan, protes konsert misalnya. Ia menjauhkan anak muda dengan PAS sendiri. Komen saudara?

Pada saya, kami dalam Lajnah buat kerja kami. Jika Pemuda ada idea mereka, nak tentang tu, biar mereka buat. Kami ada prinsip sendiri. Mungkin ada jurang antara kami dan Pemuda yang perlu kami sama-sama selesaikan.

Pada anak muda, imej konservatif itu memang sinonim dengan Pemuda PAS.

Itu cabaran kepada kami lah untuk buat penerangan tentang program-program kesenian ini, pada masa sama terus pergiatkan penganjuran program itu sendiri.

Kami sememangnya berbincang untuk rapatkan jurang ini. Kami sudah minta Dewan Ulamak PAS Pusat untuk anjurkan wacana tentang kebudayaan, dan menjemput tokoh-tokoh yang berkemampuan untuk membincangkannya.

Tiada ulasan: