Selasa, 18 Februari 2014

Agenda seni budaya, Syiah dan kerjasama PAS – UMNO: Daripada mulut Muhaimin Sulam (bahagian 2)


muhaiminsulam2


Keseluruhannya, ia dikongkong dalam kerangka kapitalis. Melayu yang jadi pelakon, tetapi yang menguasai industri adalah kapitalis. Seniman adalah insan yang hebat, tetapi kerana kongkongan sistem yang terlalu kuat, mereka jadi pekerja selama-lamanya. Apabila terlalu terarah kepada material, rasa kebajikan terhadap mereka akan hilang.
Sambungan daripada PAS, kebudayaan, pemuda dan konsert; dari mulut Muhaimin Sulam

Apa agenda yang akan dibawa jika PAS diberi kedudukan menjaga seni budaya dalam Kerajaan Pusat Pakatan Rakyat.

Pertamanya, kita nak angkat martabat seni budaya ke arah membina masyarakat berbudaya dan bertamadun. Kurangkan hedonisme, yang tidak bertujuan ke arah itu. Namun, pastinya kita tidak secara automatik cuba tukar semua. Perlu realistik.

Pengisian tetap sama dengan sedia ada. Kita bukan nak ubah seniman jadi ustaz. Tetapi fungsinya – daripada pisau yang memotong, kepada pisau yang membentuk.

Tidak kurang pentingnya juga soal kebajikan artis dan seniman. Kita sendiri lihat, seniman hebat pada penghujung usia hidup mereka daif. Kita semua tahu kisah P Ramlee, R Azmi dengan tragedinya dan terbaru seniwati Latifah Omar. Mereka tiada takaful dan insurans sendiri apabila susah terpaksa bergantung kepada duit simpanan semata-mata.

Lagu dan filem mereka diulang tayang, tapi mereka tidak dapat royalti. Sedangkan, mereka sebenarnya yang menanam hasil pemikiran dan idea yang besar.

Apa yang pincang dalam hal seni budaya pada masa ini?

Tidak seperti di barat, Hollywood misalnya – walaupun sistem yang sama, namun kerana tamadun modennya lebih awal, artis dan seniman mampu bangunkan kekuatannya sendiri. Kalau seniman kita itu hidup di sana, mereka akan dapat peluang yang lebih cerah. Di sana, ada nilai-nilai Islam dan seniman mendapat manfaatnya. Di sana, sistem sokongan yang baik membuatkan mereka tidak boleh menganiaya sesama mereka.

Kenapa Yuna semakin berjaya di Amerika Syarikat? Pertama, tentulah bakatnya. Tetapi, di sini juga ramai berbakat, tetapi peluang yang ada tidak sama.

Apa benda sebenarnya bising-bising tentang Syiah ni?

Di dalam PAS, kita berpegang kepada kata-kata Presiden kita, Datuk Seri Abdul Hadi Awang – bahawa isu Sunni – Syiah dibikin musuh politik kita, untuk kita lupakan isu nasional seperti GST, kenaikan harga barang dan sebagainya. Ini adalah isu lebih seribu tahun dahulu. Seperti kenyataan Presiden, ia adalah mainan politik dunia dan sentiasa digunakan untuk menjadikan orang Islam lupa tentang matlamat membebaskan Baitul Maqdis.

Terlalu banyak maklumat, tidak tahu yang mana satu benar sehingga ia jadi kacau. Adakah kita perlu fahamkan masyarakat tentang Syiah?

Ya, usaha itu perlu dibuat, tetapi kita kena bijak agar tidak menenggelamkan isu lain yang lebih rapat dengan rakyat, seperti rasuah dan penyelewengan. Kita kena jelaskan bab Sunni – Syiah ini dengan bijaksana, ia bukanlah hal yang boleh diselesaikan di media semata-mata, tetapi oleh pakar dan ulama.

Jika ditanya ‘Apakah itu Syiah’, apa jawapan?

Kalau boleh saya kutip kata-kata Imam Shafie – Sunni mazhabku, Syiah sahabatku. Imam Shafie ada kata begitu, kalau tidak silap saya.

Jadi, jelaslah kan?

Jelas, tiada masalah. Golongan ekstrim ada dalam kedua-duanya – Sunni dan Syiah. Ia tidak boleh dikaitkan dengan mazhab dan kelompok. Seperti Katolik dan Protestan. Mana-mana agama ada yang jadi ekstrim, jadi kita tidak boleh generalisasikan mereka kepada satu kelompok sahaja. Jadi tak perlu kita buang masa (sehingga bergaduh), ini hal 1,000 tahun lalu.

PAS, UMNO dan kerajaan Perpaduan. Macam hantu, ia timbul pada masa tertentu, namun ada kalanya perlu dijawab. Bagaimanakah hubungan antara PAS dan UMNO dan di mana letaknya DAP – sebagai rakan – dalam perhubungan PAS – UMNO?

Asasnya begini – sebagai parti politik, kita boleh bekerjasama (dengan UMNO) dalam isu yang tidak bermasalah. Kalau ada pun perhubungan, ia adalah personal dan untuk isu setempat. Misalnya, orang PAS kena akui, Perdana Menteri daripada UMNO. Jadi, apabila Menteri Besar Kelantan jumpa PM, ia hanya hubungan antara pentadbiran negeri dan pusat.

Namun tidak dapat dinafikan, ia akan jadi pandangan politik. Dan pandangan politik adalah suatu benda yang pelik, dia boleh cipta persepsi. Ambil satu objek berwarna merah, ada yang boleh kata, “tak, itu warna biru’.

Seperti di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen DAP dan MCA berkawan. Tapi dalam konteks politik, mereka berlawan. Jadi, tak ada masalah. Cuma ahli politik sempit yang akan lihat perhubungan adalah hal yang tidak baik kepada Pakatan Rakyat.
muhaiminsulam3 

Isu ini sering dimainkan dan tidak dinafikan wujud hubungan politik. Misalnya, pemimpin yang berjumpa senyap-senyap, macam Hasan Ali. Ada rakan dalam Pakatan Rakyat yang rasa tersinggung.

PAS adalah parti besar. Yang buat kerja secara ‘lone ranger’, tidak berasaskan keputusan parti, dia akhirnya akan ditolak – macam Hasan Ali. Melainkan jika tindakannya atas kapasiti parti, berasaskan keputusan parti, Insyallah selamat.

Pada muktamar terbaru lalu, ramai tokoh digelar kumpulan ‘Erdogan’ menang dalam pelbagai jawatan. Tetapi jawatan lantikan, seperti Pesuruhjaya Negeri, diberi kepada tokoh dalam kumpulan ‘Ulama’.

Bagi yang tidak terbabit secara langsung, dia akan nampak politik ini seperti ada satu acuan sahaja, pada hal ia pelbagai. Ada satu, dua, pelbagai cara, dan itulah yang melengkapkan parti politik. Kalau ada satu (jenis) kepala sahaja, memang senang – senang bungkus!

Maka inilah kebijaksanaan Presiden. Dia lantik – pinjam bahasa masyarakat – kelompok bukan-Erdogan. Agar ada kepelbagaian dan keseimbangan. Seperti Ilmu Fekah – apabila hukum terlalu longgar, akan ada kaedah untuk longgarkan; apabila ketat sangat, ada kaedah melonggarkan.

Macam inilah, kalau nak tengok daripada segi penampilan, kalau semuanya berkopiah berserban, orang yang ‘fesyen’nya tak sama susah nak masuk. Macam saya dengan rambut panjang, ini pun satu kelebihan juga (ketawa). Bukanlah tentang rambut itu sendiri, tetapi setidak-tidaknya ia beri gambaran – orang yang berbeza juga boleh diterima. Kepelbagaian sebegini yang sukar didapati dalam parti lain.

Macam kita makanlah, ada pedas, ada manis. Kalau tak ada, tak sedap! -Roketkini.com

Tiada ulasan: