Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menyambut baik pelawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beliau membantu pembangunan desa negeri Selangor selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak lama lagi.
Bekas menteri besar Selangor itu berkata, apa yang penting kepadanya, Selangor kekal sebagai negeri utama yang menjadi "super model" kepada negeri lain di Malaysia.
"Saya bersedia untuk membantu jika khidmat saya diperlukan," katanya yang dikenali sebagai Mat Taib kepada The Malaysian Insider.
"Kalau hendak mulakan sesuatu di negeri Selangorlah. Orang cedik pandai ada di sini, semua sumber ada di sini," katanya mengulas cadangan Pakatan Rakyat (PR) menjadikan Selangor sebagai model pemerintahan mereka sebelum menawan Putrajaya.
Mengulas mengenai kemungkinan Anwar akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, Muhammad berkata, ia tidak mustahil berlaku kerana tidak ada undang-undang bertulis yang mengatakan hanya anak Selangor sahaja boleh memegang jawatan itu.
"Politik itu adalah the 'art of possible'. Tiada apa yang mustahil dalam politik," katanya.
Dalam satu ceramah di Kajang malam tadi, Anwar mengumumkan akan membawa masuk bekas veteran Umno, Muhammad ke dalam pentadbiran Selangor selepas selesai PRK.
Ketua pembangkang itu juga berkata, selain kepakaran pengurusan ekonomi Abdul Khalid, kepakaran program desa yang dimiliki Muhammad juga amat diperlukan dalam pentadbiran Selangor.
"Saya akan panggil Tan Sri Muhammad Muhammad Taib. Dia ada kepakaran program desa," katanya di hadapan kira-kira 200 penyokong PKR, di Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras, di Kajang, malam tadi.
Pengumuman Anwar itu dilihat sebagai mengesahkan lagi spekulasi beliau akan menggentikan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor sekiranya menang PRK Kajang.
Muhammad yang turut dikenali sebagai "Mat Tyson" dalam arena politik negara mengumumkan menyertai PAS menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor pada 1998 setelah Mahkamah Majistret Brisbane memutuskan beliau bersalah membawa wang tunai berjumlah RM2.4 juta ke Australia.
Jawatan tertinggi yang pernah dipegangnya adalah naib presiden Umno (2000-2003), dan ketua penerangan Umno (2008-2009). Selain itu, beliau juga pernah menganggotai Kabinet di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Muhammad merupakan menteri besar Selangor antara 1986 hingga 1997 dan turut berkempen ke seluruh negara membantu PR semasa PRU13.
PRK Kajang diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan secara mengejut bulan lalu.
Lee, 42, merupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun.
Dalam PRU13, Lee mendapat 19,571 undi, berbanding calon BN, Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.
Komposisi pengundi di Kajang membentuk 49% Melayu, 40% Cina, 10% India dan 0.91% lain-lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh PRK DUN Kajang pada 23 Mac dan hari penamaan calon jatuh pada 11 Mac
Tiada ulasan:
Catat Ulasan