MALAYSIAKINI
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) didakwa mengabaikan nasib guru yang dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dalam perhimpunan membantah perlaksanaan Penaksiran Berasas Sekolah (PBS).
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, NUTP sepatutnya melindungi dan menjaga kebajikan guru-guru, bukan bertindak sebaliknya.
"Dalam isu ini, NUTP tidak mahu membela guru-guru yang berani bersuara tentang perkara ini, bahkan menyuruh mereka bersyukur kerana mereka hanya dipindahkan kerana bantahan terhadap perkara ini (PBS).
"Ia sangat menyedihkan tak sepatutnya berlaku kerana NUTP sepatutnya tidak membuat kenyataan sedemikian.
"Sepatutnya membela kebajikan guru-guru bawah naungan mereka,"katanya menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media di ibu pejabat PKR.
Presiden NUTP Hashim Adnan semalam dilaporkan berkata, Mohd Nor Izzat bertindak atas kapasiti individu apabila menganjurkan bantahan Sabtu lalu di Bangi yang menyaksikan kehadiran kira-kira 100 orang guru.
Ketika ditanya apakah NUTP akan bersuara untuknya, Hashim berkata, beliau hanya dipindah tempat mengajar bukan ditangkap ataupun ditembak mati sepertimana yang berlaku di Laos, Pakistan dan Syria.
Dalam sidang media hari ini, Nik Nazmi menegaskan, tindakan berani Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) pada 22 Febuari lalu, mewakili semua guru di Malaysia.
Tekanan golongan itu juga, tambahnya, berjaya menarik perhatian meluas sehingga peringkat Kementerian Pendidikan.
Beliau justeru menggesa kementerian berkaitan menghentikan sebarang tindakan kepada guru-guru yang terlibat dalam membantah PBS.
1 ulasan:
Pengerusi Suara Guru Masyarakat Malaysia adalah guru baru yang belum disahkan jawatan. Dia pulak guru Seni Visual yang tak banyak terlibat dengan 'kesukaran ' PBS. Dia ada masalah lain tapi jadikan PBS sebagai alat untuk lahirkan penentangannya...
Catat Ulasan