Mustaffa Idrus Mustaffa Idrus
 
 
SHAH ALAM - BN perlu percaya dengan tokoh yang dimiliki parti itu sekaligus tidak boleh meletakkan calon "bidan terjun" pada PRK Dun Kajang yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi 11, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustaffa Idrus berkata, BN tidak perlu meletakkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang membayangkan seolah-olah parti itu ketandusan pemimpin.

"BN juga tidak wajar meletakan Chong Wei kerana seolah-olah ketandusan pemimpin yang baik.

"Pada saya Chong Wei popular pada bidangnya dan beliau tidak layak menjadi wakil rakyat dan ahli politik.

"Jangan kita mempermainkan tokoh-tokoh yang ada, dan selama ini bekerja keras untuk rakyat.

"Kita kena yakin dengan ahli-ahli politik kita sendiri...yang turut mampu mengalahkan Anwar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, bekas Adun Kajang-PKR, Lee Chin Cheh telah meletak jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Perkara itu telah diumumkan oleh Speker Dun Selangor, Hannah Yeoh.

Susulan itu, PR telah melakukan satu pengumuman dengan meletakkan nama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Adun di situ.
 
Bagaimanapun, BN masih belum memutuskan secara rasmi sama ada ingin meletakkan calon atau pun tidak.
 
Walaupun parti komponen BN, MCA telah mempunyai senarai pendek yang akan diteliti termasuk nama Chong Wei yang menjadi cadangan pemimpin Umno Selangor.
 
Dalam pada itu, Mustaffa juga berkata BN perlu meletakkan calon untuk memberi peluang kepada rakyat melakukan pilihan pada PRK Dun Kajang itu.
 
"Inilah masanya rakyat sepatutnya menghukm PKR di Dun Kajang ini.
 
"Andai BN tidak meletakkan calonnya, ini bermakna BN sendiri tidak mempercayai kebolehan sendiri dan mengaku kalah sebelum bertanding," katanya lagi.