Ahad, 16 Februari 2014

Kelantan perkenal aktiviti berbasikal tarik pelancong

HARAKAHDAILY 


KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan akan memperkenalkan aktiviti berbasikal sebagai acara tahunan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.
  
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata aktivi berbasikal dapat membantu memperkenalkan kepada pelancong, destinasi pelancongan terkenal di negeri itu.

"Kita akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia Kelantan serta agensi pelancongan lain dalam usaha menggalakkan pelancong menaiki basikal dan melawat tempat-tempat menarik di negeri ini.

"Ini kerana pelancong dapat melawat ke tempat-tempat yang tidak dapat dilalui oleh kereta jika mereka menaiki basikal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Flag-Off Kayuhan Muhibah' di sini hari ini.

Turut Hadir Pengarah Tourism Malaysia Kelantan Nor Aida Ismail.

Sebanyak 70 peserta menyertai program kayuhan tersebut membabitkan jarak sejauh 25 kilometer sekitar daerah Kota Baharu termasuk melalui kampung-kampung yang menjadi tumpuan pelancong.
    
"Kayuhan akan bermula dari Kota Sultan Ismail Petra di sini dan peserta akan dibawa ke beberapa tempat menarik di kawasan Pantai Cahaya Bulan dan akan kembali ke Kota Sultan Ismail Petra," katanya.

Ketika ditanya mengenai sasaran enam juta pelancong melawat Kelantan tahun ini, beliau berkata setakat ini terdapat perkembangan positif dari segi jumlah kemasukan pelancong ke negeri itu.

Kelantan mencatat kedatangan pelancongan sebanyak 5.2 juta tahun lepas.

"Kita lihat jumlah penerbangan awal tahun ini bertambah dan kita akan aturkan beberapa program lain dalam usaha mencapai sasaran tersebut," katanya.

Sementara itu, Nor Aida berkata Tourism Malaysia Kelantan menyokong tindakan kerajaan negeri untuk menjadikan aktiviti berbasikal sebagai acara tahunan di negeri itu.

"Kita akan bekalkan peta kepada pelancong yang ingin berbasikal bagi memudahkan mereka berkunjung ke beberapa lokasi menarik yang telah ditentukan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: