Sabtu, 8 Februari 2014

Ingat kepincangan Umno negeri sebelum dedah kelemahan Anwar

Mohd Sabri Said 


GEORGETOWN: Gabungan 13 badan bukan kerajaan (NGO) negeri ini bertekad akan mendedahkan kepincangan Umno Pulau Pinang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang Mac ini bagi menyahut kenyataan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said yang mahu mendedahkan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada kempen PRK tersebut.

Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Cabang Permatang Pauh, Amir Ghazali (gambar) berkata, pihaknya bersedia mendedahkan "Diari Jambu" Umno Pulau Pinang khususnya Umno Bahagian Permatang Pauh yang dikepalai Zaidi sepanjang kempen PRK Kajang nanti.

Amir menyifatkan  kenyataan Zaidi umpama bola tanggung untuk Pakatan Rakyat negeri.

Antara isu yang bakal dibawa NGO Pulau Pinang pada kempen PRK Dun Kajang adalah tindakan pemimpin Umno negeri menggadai tanah milik orang Melayu di negeri tersebut.

Antaranya, jelas beliau adalah isu penjualan tanah orang Melayu seluas 362 hektar di Kampung Terang, Balik Pulau oleh sebuah syarikat yang dimiliki pemimpin Umno negeri.

Syarikat tersebut, ujarnya memperolehi keuntungan 'atas angin' berjumlah RM5.5 juta hasil penjualan tanah tersebut kepada pihak ketiga dengan harga RM13.5 juta.

"Zaidi kena jelaskan terlebih dahulu penyelewengan syarikat milik pemimpin Umno ini sebelum berhasrat mendedahkan kelemahan Anwar di Kajang kelak, " saran beliau.

Antara NGO negeri yang akan membantu kempen Pakatan Rakyat di Kajang adalah Bara,  Turun, Ragas,  Jingga 13, Hapus dan Langgar.

Zaidi dalam satu kenyataan media baru-baru ini menyatakan kesediaan Umno Bahagian Permatang Pauh untuk menghantar 30 petugas sepenuh masa bagi membantu kempen BN di Dun Kajang.

"Kami akan hadir di sana dengan segala maaklumat , bahan dan fakta mengapa Anwar tidak boleh dimenangkan di Kajang," kata Zaidi yang baru menerajui Umno bahagian September lalu.

Menurut Zaidi, Umno Bahagian juga akan membentuk pasukan untuk berkunjung dari rumah ke rumah di  kawasan Permatang Pauh bagi mengumpulkan masalah rakyat yang gagal diselesaikan Anwar.

Beliau berharap "segala pendedahan , kejutan dan kempen" yang dilakukan sepanjang PRK Kajang akan membuka mata para pengundi Dun Kajang untuk menolak Anwar.

Tiada ulasan: