Selasa, 18 Februari 2014

Dinar: Bekas Pengarah KGT mohon maaf di mahkamah

RIZAL TAHIR 


KOTA BHARU: Dakwaan kononnya Dinar yang dikeluarkan di Kelantan tiada ciri-ciri Islamik kini terjawab apabila bekas Pengarah Eksekutif Kelantan Golden Trade (KGT), Nik Mahani Mohamed membuat pengakuan maaf di mahkamah hari ini.

Permohonan maaf secara bertulis itu diserahkan peguamnya, Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Kenyataan permohonan maaf itu antara lain menyebut “Dengan suci hati menyatakan bahawa saya amat menyesali pemberitaan yang diterbitkan Utusan Malaysia bertarikh 25 Jun 2012 yang dianggap telah disalah tafsir dari konteks sebenar”.

Beliau juga memohon maaf kepada KGT terhadap sebarang kesulitan, terjejas reputasi dan apa-apa kerugian yang dialami akibat pemberitaan tersebut.

Sebelum ini Nik Mahani dilaporkan membuat tiga laporan polis terhadap apa yang didakwa berlaku salah laku membabitkan seorang pegawai kanan KGT.

Beliau juga dilapor mengatakan Dinar dikeluarkan KGT tiada ciri-ciri Islam. Berita tersebut disiarkan Utusan pada 25 Jun 2012 dengan tajuk “Dinar KGT Didakwa Tiada Ciri Islam”.

Peguam plaintif, Zainal Abidin Mustaffa ketika ditemui berkata, defendan keempat tersebut dikehendaki menyiarkan permohonan maaf dalam salah sebuah akhbar tempatan dalam masa dua minggu.

Mahkamah juga memutuskan defendan terbabit perlu membayar kos sebanyak RM10,000.

Tiga lagi turut dinamakan sebagai defendan kes berkenaan iaitu Utusan Melayu sebagai defendan pertama, Saifulizan Muhamad (kedua) dan Azran Fitri Rahim (ketiga). Ketiga-tiga defendan tersebut diwakili peguam M Reza Hassan.

Sebelum itu peguam ketiga-tiga defendan meminta menangguhkan prosiding hari ini bagi merujuk kes tersebut kepada pihak Lembaga Pengarah Utusan Melayu di Kuala Lumpur.

M Reza berkata, pihaknya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak tertinggi Utusan Malaysia sama ada ingin meneruskan pembelaan atau meminta maaf.

Perbicaraan kes tersebut bersambung esok.

Tiada ulasan: