Khamis, 6 Februari 2014

CAP kesal najis dan kepala babi cemar sungai dan laut



Oleh S M Mohamed Idris


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal berhubung kejadian pencemaran najis babi dan kepala babi yang dilaporkan berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini. Masalah tersebut bukan saja memberi kesan buruk ke atas alam sekitar tetapi juga kehidupan penduduk tempatan serta hidupan air di kawasan terbabit.

 Di Tanjung Sepat, Selangor masalah yang berlarutan sejak 50 tahun yang lalu itu menimbulkan bau busuk di samping mencemarkan sistem perparitan, sungai dan laut berhampiran.

Manakala di Negeri Sembilan pula isu pembuangan kepala babi di dalam sungai Kampung Legong Jaya dekat Rembau juga mencetuskan situasi panik dan rasa bimbang di kalangan penduduk tempatan.

Air sungai di kampung itu bukan saja digunakan untuk menyiram pokok tetapi dikhuatiri mencemarkan air di loji berhampiran yang menjadi sumber bekalan air untuk pengguna di kawasan berkenaan.

CAP hairan bagaimana masalah seperti ini boleh berlaku dan tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan walaupun ia sudah lama mengancam alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan terlibat.

CAP percaya jika keadaan ini dibiarkan kesan buruk yang lebih serius terutama melibatkan masalah kesihatan penduduk pada masa akan datang.

Maka, CAP menggesa kedua-dua kerajaan negeri berkenaan termasuk jabatan serta agensi berkaitan memberi perhatian serius terhadap masalah ini di samping menguatkuasakan peraturan yang termaktub di bawah undang-undang yang ada dengan lebih tegas.

Kajian terperinci dengan mengambil kira kesan alam sekitar dan masalah penduduk perlu dilakukan oleh kerajaan sebelum kelulusan diberikan kepada pengusaha ternakan babi.

Bagi pengusaha yang melanggar peraturan lesen ternakan, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, undang-undang di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan atau melakukan projek ini secara haram, tindakan tegas dan hukuman yang lebih berat, wajar dikenakan ke atas mereka.

CAP turut meminta kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan mendedahkan kepada umum tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah tersebut dan mendedahkan situasi terkini mengenai kejadian itu

* Penulis ialah Presiden CAP.

Tiada ulasan: