Selasa, 11 Februari 2014

Calon PRK Kajang : UMNO Mampu Beri Kejutan

Rakyat News
 
Safiq Yaacob 


KAJANG  - UMNO Bahagian Hulu Langat mencadangkan agar pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada parti itu untuk meletakkan calon menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Kajang Mac ini.

TImbalan Ketua Bahagian UMNO Hulu Langat, Datuk Markiman Kodiran berkata, selepas penilaian yang dilakukan beliau yakin jentera UMNO mampu melakukan kejutan pada PRK kali ini.

"Kita mencadangkan agar UMNO diberikan peluang mewakili BN bagi PRK Dun Kajang Mac ini dan kita telah bersiap sedia menghadapi pihak pembangkang.

"Dengan kekuatan sebanyak 49 peratus pengundi melayu dan hasil beberapa penilaian yang telah kita lakukan kita yakin jentera UMNO mampu melakukan kejutan memenangi pilihanraya ini," katanya kepada Rakyatnews di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Hulu Langat di sini.

Markiman menjelaskan, beliau bagaimanapun akan akur dengan keputusan yang bakal diumumkan mengenai pilihan calon oleh pucuk pimpinan parti dan baginya kredibiliti dan kemampuan calon tersebut perlu dititikberatkan.

"Setakat ini pucuk pimpinan sedang melakukan penilaian mengenai parti mana yang bakal bertanding dan senarai calon-calon itu sendiri.

"Tetapi bagi saya, calon yang dipilih untuk BN mesti dilihat bersih dan mampu berkhidmat untuk rakyat khususnya pengundi tempatan," katanya.

Sebelum ini, kerusi Dun Kajang terpaksa dikosongkan oleh bekas penyandangnya, Lee Chin Cheh dari PKR dengan meletakkan jawatan 27 Januari lalu.

Chin Cheh memenangi kerusi itu pada PRU Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tempoh berkempen selama dua minggu bermula selepas tarikh penamaan calon yang dijadualkan pada 11 Mac.

Tiada ulasan: