Khamis, 13 Februari 2014

BFM dilarang siar temubual dengan Anwar

MALAYSIAKINI





Stesen radio BFM dilarang menyiarkan temubual dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pilihan raya kecil di Kajang.

Temubual itu pada mulanya dijadualkan untuk disiarkan dalam Edisi Petang stesen tersebut.

Difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan stesen itu tidak menyiarkan temubual tersebut.

Bagaimanapun, ia masih boleh didapati untuk muat-turun di lamanweb stesen itu.

Ia adalah amalan biasa untuk stesen radio tersebut mengemukakan senarai tetamu dan topik untuk rujukan SKMM.

Ia juga bukan kali pertama BFM dilarang SKMM daripada menyiarkan rancangan temubualnya.

Antara contohnya, SKMM telah mengarahkan BFM tidak menyiarkan temubual dengan Irshad Manji, seorang pengarang buku Kanada yang menjadi sasaran bantahan kumpulan Islam konservatif kerana pendirian liberalnya mengenai Islam.

BFM adalah sebuah stesen radio yang berpangkalan di Lembah Klang yang boleh diterima siarannya di bahagian-bahagian di Negeri Sembilan dan Melaka.

Stesen ini telah membina reputasi kerana pendekatannya yang lebih liberal dan berani berkaitan perniagaan dan hal ehwal semasa, yang membezakannya daripada tiga kumpulan stesen swaster terbesar - Media Prima Radio Networks, Star Publications (M) Bhd dan AMP Radio Networks.

Ia ditubuhkan oleh Malek Ali dan tahun lepas, dan 23 peratus pegangan sahamnya dilaporkan telah diperolehi oleh The Edge Communications Sdn Bhd.

Tiada ulasan: