Jumaat, 7 Februari 2014

Azmin desak MB Selangor henti guna PKNS sebagai senjata politik

OLEH MD IZWAN

Mohamed Azmin Ali kecam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdu Khalid Ibrahim yang menggunakan PKNS sebagai alat politik. Gambar fail.Mohamed Azmin Ali kecam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdu Khalid Ibrahim yang menggunakan PKNS sebagai alat politik. Gambar fail.



























Mohamed Azmin Ali mengecam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menggunakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai senjata politik bagi melawan musuh politiknya.

Timbalan presiden PKR itu yang sebelum ini digugurkan sebagai ahli lembaga pengarah PKNS berkata, Abdul Khalid tidak berperikemanusiaan dan tindakannya memecat 22 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) itu menyalahi undang-undang.

"Pemecatan kakitangan PHSB bukan hanya melanggar undang-undang pekerja tapi adalah tidak berperikemanusiaan.

"Abdul Khalid perlu berhenti guna PKNS sebagai alat politik untuk melawan musuh politiknya," kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Khalid mempertahankan tindakan pemecatan tersebut bagi menjimatkan perbelanjaan operasi sebanyak RM7 juta.

Abdul Khalid berkata, pemecatan tersebut adalah mengikut prosedur yang dibuat dalam perjanjian dengan kakitangan PKNS tersebut.

Namun, Azmin berpendapat tindakan itu bertentangan dengan prinsip Pakatan Rakyat (PR) yang membela nasib pekerja, bukan sebaliknya.

"Semua pekerja mesti dilayan dengan bermaruah dan belas kasihan.

"Ia bukan sahaja mengakibatkan kehilangan kewangan kepada kepada pekerja tetapi pampasan dua bulan gaji tersebut hanya menambah penghinaan kepada individu tersebut," katanya.

Azmin menggesa supaya surat pemecatan itu ditarik balik dan menteri besar perlu meminta maaf atas tindakan yang tidak berhati perut itu.

Selasa lalu, PHSB dilaporkan memecat kakitangannya tanpa sebarang sebab munasabah dengan notis 24 jam berkuatkuasa serta-merta.

Kontroversi pemecatan itu berlaku ketika kemelut politik dalaman PKR Selangor masih bergolak antara kem Abdul Khalid dengan Azmin.

Surat penamatan khidmat 22 kakitangan tersebut ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Isu pemecatan tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Langat yang juga Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani membidas langkah itu sebagai tidak munasabah.

Menteri besar dua penggal itu juga ketika ini berdepan dengan kemungkinan disingkirkan daripada tampuk kuasa Selangor selepas khabar angin mengatakan langkah Datuk Seri  Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil di Kajang bertujuan mengambil alih jawatan penting di negeri terkaya tersebut.

Tiada ulasan: