Selasa, 11 Februari 2014

Anwar fail aduan salah laku Shafee kepada Lembaga Disiplin

OLEH MD IZWAN‎


Keputusan Putrajaya merayu kes Liwat II ke atas ketua pembangkang itu bakal diketahui esok, sekiranya berjaya ia akan membolehkan rayuan pihak pendakwa didengarkan pada 12 dan 13 Februari. – Gambar fail.Keputusan Putrajaya merayu kes Liwat II ke atas ketua pembangkang itu bakal diketahui esok, sekiranya berjaya ia akan membolehkan rayuan pihak pendakwa didengarkan pada 12 dan 13 Februari. – Gambar fail.


 Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menfailkan aduan kepada Lembaga Disiplin ke atas Ketua Pendakwaan kes Liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menjelang keputusan rayuan Putrajaya esok.

Keputusan Putrajaya merayu kes Liwat II ke atas ketua pembangkang itu bakal diketahui esok, sekiranya berjaya ia akan membolehkan rayuan pihak pendakwa didengarkan pada 12 dan 13 Februari.

"Adalah dimaklumkan bahawa anak guam saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan satu aduan kepada Lembaga Disiplin untuk pengamal undang-undang terhadap Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah," kata peguam, Sivarasa Rasiah dalam satu kenyataan hari ini.

Sivarasa mendakwa aduan tersebut dibuat kerana Shafee didakwa berlaku salah dan bertentangan dengan etika guaman.

"Aduan ini dibuat kerana Shafee berlaku salah dan melanggar seksyen 94(3)(d) Akta Profesion Undang-Undang 1976 di mana Shafee telah melanggar, antara lain, Peraturan 3, 4, 5, 10, 16, 17, 18, 28, dan 36 Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 dengan menerima fiat Peguam Negara untuk bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes Mahkamah Rayuan terhadap anak guam saya," kata Sivarasa lagi.

Menurut Sivarasa lagi, tindakan melantik Shafee yang mempunyai percanggahan kepentingan adalah melanggar peraturan etika profesional di mana seseorang peguam tidak boleh memiliki kepentingan sendiri di dalam hasil sesuatu kes.

"Di dalam kes ini, Shafee dilantik oleh Peguam Negara, walaupun Shafee berada di rumah Datuk Seri Najib Razak pada hari Saiful Bukhari hadir untuk 'membuat aduan'.

"Shafee sering dilantik sebagai peguam kepada Najib, Rosmah dan Tun Dr Mahathir Mohamad; dan Shafee sendiri tahu tentang salah laku Peguam Negara," katanya lagi.

Sivarasa menjelaskan rayuan tersebut bertujuan demi kemaslahatan umum.

"Walau apa pun yang berlaku esok di dalam kes untuk menyingkirkan Shafee daripada terus bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes rayuan Fitnah 2, anak guam saya akan meneruskan dengan aduan beliau ini demi kemaslahatan umum," katanya lagi.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 11 Februari untuk mendengar rayuan kali kedua Anwar untuk mengenepikan Muhammad Shafee, apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes Selasa lepas.

Pelantikan Muhammad Shafee, seorang peguam terkenal, dibuat melalui kuasa Peguam Negara mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, untuk mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 20 Disember tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak permohonan itu dan memutuskan bahawa pelantikan Muhammad Shafee adalah mengikut undang-undang.

Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu daripada tuduhan liwat dengan menggunakan maklumat daripada perisytiharan berkanun yang dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, untuk menyokong permohonannya.

Permohonan pertama Anwar ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas, dan berikutan itu, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, tetapi turut ditolak.

Tiada ulasan: