AMK menyedari terdapat kumpulan-kumpulan anak muda yang mahu memboikot PRK Kajang
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah menubuhkan pasukan khas untuk memantau laman media sosial menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kajang.
Menurut Ketua sayap PKR itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin, AMK menyedari terdapat kumpulan-kumpulan anak muda yang mahu memboikot PRK tersebut lantaran tidak berpuas hati dengan alasan taktikal yang diberikan oleh parti tersebut.
Tambahnya, penubuhan pasukan pemantau itu bertejuan untuk menjelaskan kepada golongan muda akan keperluan PRK tersebut diadakan.
“Kumpulan-kumpulan anak muda ini bergerak aktif di laman media sosial dan kebanyakkannya membuat sindiran di Facebook dan Twitter.
“Walaupun tahu bukan mudah untuk kita ubah persepsi mereka, kita dah wujudkan pasukan pemantau untuk berikan penjelasan mengenai isu-isu berbangkit dan cuba mendekati golongan ini,” kata Shamsul apabila dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, AMK mensasarkan untuk mendekati golongan anak muda di Kajang sendiri bagi memastikan kemenangan PKR dalam PRK itu nanti.
“Anak muda mungkin akan memahami (keperluan PRK Kajang) jika didekati dengan cara ini.
Mungkin kita tak dapat mendekati kesemuanya, yang penting ialah anak-anak muda di Kajang sendiri. Itu sasaran utama kita,” jelasnya lagi, sambil menambah penyebaran maklumat dari pasukan ini penting untuk memastikan kemenangan PKR.
Ahli Parlimen Bukit Katil itu turut berkata bahawa AMK telah menerima reaksi positif daripada golongan anak muda setelah pasukan pemantau ini ditubuhkan.
“Kalau di peringkat awal, ramai anak muda yang menolak, saya ingat sekarang lebih banyak yang sudah memahami dan menjadi jurucakap kita di forum-forum dan media sosial.
“Saya fikir ini perkembangan yang positif tapi kita tak boleh leka dengan cabaran semasa dan kita akan cari jalan untuk terus mendekati golongan ini,” katanya lagi.
Shamsul berkata PKR akan memulakan gerak kerja mereka di Kajang sebelum penamaan calon diumumkan.
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan seperjuangan dalam Pemuda PAS dan DAP yang mengeluarkan kenyataan akan membantu PKR di Kajang.
Menurut beliau, walaupun terdapat bantahan daripada Pemuda PAS pada awalnya, namun setelah diberikan penjelasan dari pimpinan tertinggi mereka mampu menerimanya dengan baik.
“Ini menunjukkan bahawa ketiga-tiga parti tiada masalah untuk bekerjasama bagi menjayakan misi,” jelasnya.
Kerusi DUN Kajang kosong setelah penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR melepaskan jawatannya pada Jan 27 lalu.
Sehingga kini, hanya PKR yang telah mengumumkan calon mereka iaitu Ketua Umum Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Chin Cheh memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 6,824 dalam pertembungan enam penjuru.
Keputusan PRK Kajang ini tidak akan memberikan sebarang kesan dalam DUN Selangor lantaran Pakatan Rakyat berjaya memenangi 44 kerusi dari keseluruhan 56 kerusi DUN.
Perkara ini menguatkan lagi desas-desus bahawa Anwar akan dilantik menjadi menteri besar sekiranya memenangi PRK tersebut, walaupun sering dinafikan pimpinan PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan