Ahad, 9 Februari 2014

Ahmad Zahid salah berhubung kenyataan terhadap Teresa Kok‎, kata peguam

OLEH V ANBALAGAN‎, PENOLONG PENGARANG BERITA


Ahmad Zahid terikat dengan undang-undang dan janji untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, kata N Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai. – Gambar fail.Ahmad Zahid terikat dengan undang-undang dan janji untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, kata N Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai. – Gambar fail.



Peguam jenayah mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan bukan satu kesalahan untuk menawarkan ganjaran untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dengan berkata terpulang kepada pendakwa raya untuk memutuskan jika kesalahan dilakukan.

Mereka berkata, pihak polis mempunyai tanggungjawab untuk bertindak secara profesional dan menyiasat apabila nyawa seseorang terancam, walaupun mereka di bawah kementerian yang diketuai Ahmad Zahid.

Peguam Syahredzan Johan berkata, sikap tidak peduli menteri itu tidak sepatutnya berlaku dan polis sepatutnya menjalankan siasatan kerana laporan polis sudahpun dibuat.

"Polis sepatutnya menguatkuasakan  undang-undang mengikut buku statut," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata tugas polis adalah untuk mengumpul bukti yang ada dan menyerahkannya kepada pendakwa raya yang akan memutuskan jika adanya kes untuk didakwa.

Syahredzan berkata, dengan membuat kenyataan sebegitu, Ahmad Zahid sebenarnya menggalakkan tindakan tersebut, yang jelas melanggar undang-undang.

"Pelaku salah juga patut diteliti di bawah Akta Perhimpunan Aman bagi membawa pisau dan menyembelih ayam di pusat bandar," katanya.

Ahmad Zahid berkata tidak perlu membuka penyiasatan atas laporan polis dibuat terhadap Majlis NGO Islam - menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar ahli Parlimen Seputeh dan menyembelih ayam serta mencalit darahnya atas kain rentang dengan wajah pemimpin Cina DAP dan PKR di atasnya.

"Menampar bukan satu ancaman. Kalau mereka katakan bunuh, itu barulah ancaman," kata menteri itu semalam.

Pada Khamis, badan yang digelar Majlis NGO Islam, menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai tanda kemarahan terhadap pemimpin pembangkang itu yang dikatakan menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Fokus badan tersebut adalah Kok dan video Tahun Baru Cinanya, bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014'.

Majlis NGO Islam menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar Kok. – Gambar fail.Majlis NGO Islam menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar Kok. – Gambar fail.

 Mereka kemudiannya mencalit darah ke atas kertas rentang dengan wajah Kok dan pemimpin lain.

Penasihat Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata, kenyataan Ahmad Zahid juga merupakan penghinaan terhadap wanita kerana menganggap ancaman yang jelas sebagai satu jenaka.
"Beliau menghantar mesej yang salah jika pro-Umno, anda akan kebal daripada undang-undang.

Beliau menunjukkan bahawa kita boleh berbuat dan berkata apa sahaja, termasuk mengugut untuk memukul orang."

Paulsen berkata dalam kes ini, NGO tersebut melakukan kesalahan kerana menggalakkan jenayah terhadap seorang ahli Parlimen.

Sementara itu, Peguam Gobind Singh Deo berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sepatutnya mendidik Ahmad Zahid tentang peruntukan Seksyen 503 (jenayah ugutan) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata peruntukan itu menyatakan sesiapa yang mengugut untuk mencederakan orang lain melakukan jenayah ugutan.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah penjara selama dua tahun dengan saman, dan dalam kes ugutan membawa kecederaan, hukuman adalah penjara sehingga tujuh tahun.

"Ancaman menampar seseorang jelasnya jatuh di bawah seksyen ini," kata Gobind yang juga merupakan ahli Parlimen Puchong.

Beliau berkata, Ahmad Zahid tentunya keliru apabila berkata tindakan hanya akan diambil selepas sesuatu insiden berlaku.

"Itu memang tidak munasabah. Undang-undang tidak perlu menunggu seseorang untuk melakukan serangan sebelum tindakan diambil. Ancamannya sudah jelas. Dia seperti tidak faham perkara ini," katanya.

Peguam N Surendran pula berkata Ahmad Zahidi merendahkan penguatkuasaan undang-undang, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara terbuka.

"Kenyataan beliau adalah sama dengan melepaskan tangan daripada tanggungjawabnya sebagai menteri," kata ahli Parlimen Padang Serai itu.

Katanya Ahmad Zahid terikat dengan undang-undang dan janji untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Beliau juga berkata Ahmad Zahid melanggar sumpah janji kepada Pejabat Perdana Menteri, dengan menambah: "Beliau membuktikan beliau tidak layak memegang jawatan menteri dalam negeri atau apa-apa jawatan lain."

Surendran menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memastikan undang-undang dilaksanakan dalam perkara ini.

"Mereka yang bersalah menawarkan ganjaran tampar ini perlu ditahan," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan tiada keperluan untuk menyiasat ancaman dan tawaran itu, sebaliknya mengatakan kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang meneliti Kok atas videonya, setelah menerima lebih dari 300 laporan polis.

Semalam polis sudahpun memulakan penyiasatan terhadap aduan Kok dan mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 505 (c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang ramai untuk mencederakan orang awan, serta Seksyen 506 kerana jenayah ugutan.

Tiada ulasan: