Rabu, 12 Februari 2014
Afidavit Najib perlu ditolak kerana kesalahan pada nama, kata bekas polis
Datuk Mat Zain Ibrahim mempersoalkan percanggahan afidavit melibatkan perdana menteri dan isterinya selepas Mahkamah Rayuan menolak akuan berkanun (SD) miliknya, semalam.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur itu mendakwa, alasan penolakan SD ke atas Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempunyai persamaan dengan afidavit Datuk Seri Najib Razak (gambar) dan isterinya.
Semalam, panel lima hakim diketuai Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dalam keputusan sebulat suara berkata, SD Mat Zain bukan kenyataan dalam mahkamah dan tidak boleh diterima.
“Tuduhan lain dalam SD itu wajar dipertikaikan,” katanya ketika membacakan keputusan itu.
Mat Zain mendakwa keputusan semalam pada masa bermakna afidavit yang dikemukakan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang difailkan pada 2011 semasa perbicaraan kes liwat kedua Anwar, juga boleh dianggap tidak boleh diterima.
"Ada kecacatan tersembunyi dalam afidavit, di mana nama PM dalam afidavit berbeza dengan nama yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam daftar pemilih yang digunakan semasa majlis angkat sumpah PM pada 2009 dan 2013," kata Mat Zain dalam satu kenyataan hari ini.
"PM mengesahkan namanya sebagai Najib bin Tun Hj Abdul Razak dalam afidavitnya.
Bagaimanapun, dalam daftar pemilih dinyatakan sebagai Mohd Najib bin Abdul Razak. Manakala, semasa majlis angkat sumpah pula dinamakan sebagai Muhammad (Mohd) Najib bin Tun Hj Abdul Razak pada kedua-dua majlis. Rosmah juga mengesahkan nama suaminya sebagai Najib bin Tun Hj Abdul Razak dalam afidavit," katanya.
Selaras dengan keputusan ke atas SD tersebut, Mat Zain menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil tindakan sama ke atas afidavit bercanggah khususnya melibatkan Najib dan Rosmah.
"Penghakiman sama juga mesti diguna pakai walaupun hal tersebut melibatkan perdana menteri dan isterinya.
"Oleh itu, peguam negara wajib memberitahu mahkamah percanggahan dalam butiran melibatkan Najib dalam afidavit beliau dan isterinya dan juga dengan dokumen lain," katanya.
Bekas anggota polis itu mendakwa sudah membangkitkan isu percanggahan itu sejak 2011 kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika itu dan baru-baru ini kepada perdana menteri dan peguam negara.
"Ia sama ada afidavit PM dan isteri perlu diisytiharkan tidak boleh diterima oleh mahkamah kerana percanggahan dan mereka perlu dipanggil semula saksi, atau mereka mempertahankan afidavit masing-masing untuk membetulkan nama PM."
"Najib juga perlu mengangkat sumpah semula di hadapan Agong jika namanya pada kad pengenalan adalah Najib dan bukannya Mohd Najib.
"Jika tidak, ia akan menjadi haram baginya untuk menjalankan fungsi perdana menteri jika sumpah beliau tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Pada 9 Januari 2012, Ketua Pembangkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 66, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 2008.
Permohonan kedua Anwar untuk mengenepikan Shafee, berdasarkan SD Mat Zain ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
Mat Zain mendakwa dalam akuan berkanunnya, bahawa Shafee dan Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Ramli Yusuff membincangkan salah laku Gani di rumah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada 20 Disember, Datuk Aziah Ali, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar dan mengatakan SD itu tidak relevan kerana ia berkait dengan insiden mata lebam yang sudah diputuskan mahkamah sebelum ini.
Aziah berkata, SD itu hanya bukti yang dengar cakap dan Mat Zain tidak hadir ke mahkamah untuk menyatakan kebenaran.
Beliau berkata, terdapat beberapa kesilapan dalam SD seperti nombor kad pengenalan Mat Zain dihitamkan.
Anwar mencabar kesahihan pelantikan Shafee mengikut Kanun Acara Jenayah. Tetapi, mahkamah menolak permohonannya pada 20 November lalu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan