Rabu, 10 Oktober 2012

Sedia hadapi hujan luar biasa

KL TODAY

 

Penduduk Klang dan Pelabuhan Klang dinasihatkan bersedia berikutan kedatangan fenomena ‘Astronomical Tide’ yang membawa hujan lebat luar biasa yang dijangka melanda kawasan berkenaan dalam masa terdekat.

Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri berkata, fenomena yang menyebabkan perubahan cuaca itu dijangka berlaku bermula 15 hingga 18 Oktober ini.

“Fenomena ini dijangka mengakibatkan kejadian ribut dan berkemungkinan air sungai akan mencecah hingga 5.6 meter serta menyebabkan banjir kilat di kawasan ini kelak.Gambar: Kejadian ombak astronomik yang pernah berlaku di China tahun lepas.

“Sehubungan itu, penduduk diingatkan supaya berwaspada dan membuat persiapan awal. Pada masa sama mereka juga dinasihatkan memberi kerjasama kepada MPK dalam menghadapi banjir yang bakal berlaku itu,” katanya.

Beliau berkata, kawasan bandar Klang berada di kawasan rendah dan berisiko kepada banjir. Katanya, MPK akan melakukan pemantauan dan persiapan rapi bagi menghadapi fenomena berkenaan.

Beliau berkata, setiap jabatan yang bertanggungjawab juga sudah bersiap sedia dengan kepakaran masing-masing bagi menghadapi kemungkinan yang bakal berlaku nanti.

“Penduduk juga perlu memberi kerjasama dengan menjaga kebersihan di tempat masing-masing termasuk menyelenggara longkang secara sistematik supaya bebas daripada masalah longkang tersumbat akibat sampah,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1 800 88 23626 atau 03-33716044, 03-33714404 jika berlaku sebarang kejadian kecemasan berhubung fenomena ini.

Tiada ulasan: