Rabu, 10 Oktober 2012

Mahasiswa dan Politik – Bah. Akhir

oleh : Lim Kit Siang

Ucapan oleh Setiausaha Pemyelaras DAP, Lim Kit Siang di forum “Mahasiswa dan Politik” di Program Latihan Kepimpinan Mahasiswa Tahun Kedua, anjuran University Malaya Students Union di Universiti Malaya, 2 April 1968, jam 8 malam.



Saya telah sebut awal tadi bahawa peranan mahasiswa dalam politik kenegaraan berbeza antara sebuah negara dengan negara yang lain, bergantung kepada keadaan dan masalah yang dihadapi setiap negara.

Kita harus bertanya kepada diri kita: Apakah masalah asas yang dihadapi Malaysia, masalah yang merentasi politik kepartian dan personaliti-personaliti, serta masalah yang harus diprihatinkan oleh semua warga Malaysia, termasuk golongan mahasiswa?

Pada pandangan saya, soalannya sederhana, iaitu: Adakah Malaysia akan menjadi negara untuk bangsa Malaysia atau tidak?

Tak dapat dibantah lagi bahawa jika negara ini bukan sebuah negara untuk bangsa Malaysia, maka kita tinggal meniti hari di mana perseteruan perkauman akan mendidih menjadi sengketa dan pertumpahan darah. Apabila ini berlaku, mahasiswa, pensyarah, kaum professional, inteligensia, dan siapa saja akan sama-sama musnah. Saya mengajukan ini sebagai perkara pertama dalam agenda nasional yang mesti turut mendapat perhatian mahasiswa.

Bagi mereka yang memerhati, tanda-tandanya banyak dan serius bahawa Malaysia sedang berada dalam krisis pembinaan negara dan bahawa Malaysia mungkin terpecah-belah jika sesuatu yang tegas dan imaginatif telah dilakukan.

Pada 31 Ogos 1957, Malaya mencapai kemerdekaan. Sedekad kemudian, pada November 1967, rusuhan kaum besar-besaran pertama terjadi di Pulau Pinang, merebak ke Perlis, Kedah dan Perak Utara.

Penyusutan nilai matawang lama Malaya hanya memicu rusuhan tersebut. Rusuhan besar mungkin takkan terjadi jika unsur-unsur ekonomi dan sosial yang berakar tidak mencipta pendaman emosi dan ketegangan kaum yang segera meledak dengan hanya sedikit provokasi.

Walau pun rusuhan di Pulau Pinang telah berlalu dan penyusutan nilai matawang pula tidak lagi menjadi isu yang membakar, unsur-unsur ekonomi dan sosial yang mencipta keadaan-keadaan yang menyemarakkan sengketa perkauman masih wujud. Jika unsur-unsur ini tidak dihapuskan, potensi untuk meledaknya sengketa perkauman akan meningkat hari demi hari.

Apakah unsur-unsur sosial dan ekonomi yang terbakar ini? Ia adalah rasa kekecewaan, rasa tidak puas hati, dan kemarahan orang Melayu dan bukan-Melayu terhadap sistem sosial yang ada sekarang, walau pun bukan sebab-sebab yang berlainan.

Tembok-tembok yang memisahkan pelbagai kaum dalam negeri ini tidak dirobohkan, sebaliknya kita menyaksikan kemunculan sumber perpecahan yang baru dan lebih berbahaya menerusi galakan yang sengaja dicipta kerajaan: pembahagian rakyat Malaysia kepada dua kelompok ‘bumiputera’ dan ‘bukan-bumiputera’.

Justeru itu, masalah pembinaan negara adalah masalah yang penting hari ini, iaitu masalah untuk menumbuhkan sebuah generasi yang berpaksikan bangsa Malaysia, bukannya generasi yang berpaksikan Melayu, Cina atau India.

Pertaruhan mahasiswa amat besar dalam hal ini, kerana jika kita gagal dalam eksperimen masyarakat berbilang kaum ini, takkan ada apa-apa yang tersisa di hari esok untuk diwarisi oleh belia hari ini.

Sebagai kesimpulan., saya katakana bahawa peranan mahasiswa di Malaysia ialah untuk menggerakkan pandangan dan kuasa mahasiswa untuk mendorong komitmen ke arah melahirkan sebuah negara berbilang kaum.

Kaedah

Mahasiswa sendiri harus memutuskan bagaimana dan dalam cara apa pandangan  dan kuasa mereka boleh digerakkan di Malaysia.

Saya hanya boleh membayangkan tiga garis tindakan:

1.      Lancarkan program pendidikan sepanjang tahun dalam kampus untuk memahamkan mahasisiwa-mahasiswa tentang kepentingan komitmen teguh terhadap idea berbilang kaum di Malaysia menerusi ceramah, debat, forum, majalah, perhimpunan, demonstrasi dan sebagainya.

2.      Menaja kajian-kajian tentang punca-punca perkauman termasuk ekonomi, sosial dan kebudayaan, untuk memahami dengan lebih baik fenomena perkauman dan meransang perbahasan serta pemahaman di kalangan orang awam.

3.      Mengajak semua mahasiswa yang telah mencecah usia 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi dan untuk menyokong parti-parti yang sepenuhnya komited terhadap faham kemajmukan kaum.

Menggesa para mahasiswa untuk memberi komitmen terhadap perjuangan membina negara berbilang kaum tidak bermakna menggalakkan mahasiswa mengabaikan persoalan-persoalan lain. Anda harus terus bersuara dan mengatur gerak untuk menentang sebarang langkah yang tidak adil atau salah.

Politik kepartisan

Sebelum mengakhiri bicara, saya ingin membincangkan sama ada mahasiswa patut mengambil bahagian dalam politik kepartisan.

Pertama, saya merasa suatu hal yang jelek dan memalukan bahawa setelah lima tahun penubuhan Universiti Malaya di Kuala Lumpur, masih tidak ada kelab politik di kampus.

Seharusnya ada kelab politik di kampus, sama ada kelab Perikatan, kelab Sosialis Demokrat, atau kelab Kapitalis, untuk mmbolehkan mahasiswa-mahasiswa yang cenderung kepada pendekatan politik tertentu membincangkan dan membahaskan pandangan-pandangan mereka.

Mungkin ini satu-satunya negara yang mengaku mendukung demokrasi tetapi universitinya tidak dibenarkan mempunyai kelab politik.

Terhadap pertanyaan sama ada mahasiswa sepatutnya dibenarkan menyertai parti politik dan mengambil bahagian dalam kegiatan politik., saya jawab “Ya.”

Dua alasan diberikan untuk menegah pernyataan mahasiswa dalam menyertai parti politik: pertama, mahasiswa tidak matang dan mudah dipengaruhi; dan kedua, ia akan menjejaskan pengajian mereka.

Sebagai bantahan, saya katakan: mahasiswa universiti sebahagian besarnya telah melewati usia 21 tahun. Ertinya mereka layak untuk mengundi. Sekarang ini ada dua kelas pengundi dalam kumpulan usia yang sama – memandangkan pemuda-pemudi bukan-mahasiswa yang sama usianya boleh mengambil bahagian dalam kegiatan parti politik. Adakah kita sungguh-sungguh percaya bahawa belia-belia bukan mahasiswa yang sama usianya lebih matang dan kurang mudah dipengaruhi (berbanding mahasiswa)?

Mereka yang membangkitkan hujah bahawa politik akan menggangu pengajian pelajar lupa bahawa dalam kehidupan moden, mahasiswa terdedah kepada segala macam gangguan. Mereka lupa pada asasnya tergantung kepada mahasiswa itu sendiri untuk mendisiplinkan dirinya dalam pengajian.
Saya benar-benar tidak yakin bahawa peratusan gagal di universiti akan lebih tinggi jika mahasiswa dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan parti berbanding sekarang.

Penyertaan mahasiswa dalam kegiatan-kegiatan parti akan membolehkan mereka menajamkan faham mereka tentang komitmen dan tujuan sosial, selain membolehkan mereka menggandingkan idealisme dengan tindakan.

Mahasiswa-mahasiswa yang menerapkan kepercayaan dan gagasan-gagasan mereka dalam tindakan akan menjadi warga yang lebih ‘berisi’ berbanding mereka yang membiarkan idealisme dan kepercayaan mereka terpasung dalam kampus, diselubungi rasa takut. Negara kita juga akan menjadi lebih kaya pengalaman sedemikian.-roketkini.com

Tiada ulasan: