Rabu, 24 Oktober 2012

PRU13 tetap diadakan walaupun musim hujan

Wartawan Sinar Harian

Abdul Aziz Mohd Yusof
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
 
PRU13 tetap diadakan walaupun musim hujan
Jadual 1
 
SEMAKIN dekat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tekanan dan serangan bertali arus juga meningkat kepada badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia proses pilihan raya - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR sebagai badan yang bebas adalah kritikal bagi proses demokrasi negara. Namun ada pihak menuduh SPR cuba bermain kotor dengan memastikan kerajaan sedia ada terus berkuasa. Benarkah begitu?
Ikuti temu bual khas Sinar Harian bersama Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama wartawan, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN, SALMIEY DRUHAMAD DRAHSIN dan jurugambar, ROSLI TALIB di pejabatnya baru-baru ini.

Sejauh mana persediaan SPR dalam menghadapi PRU13?

PRU13 boleh berlaku pada bila-bila masa. Daripada pengalaman PRU yang lalu dan beberapa perkembangan terkini seperti pembaharuan yang akan dilaksanakan dalam PRU13, SPR telah membuat persiapan rapi daripada awal lagi secara berperingkat.

Persiapan itu mengelakkan SPR daripada terperangkap dalam keadaan tidak bersedia apabila Parlimen dibubarkan.

Walaupun tempoh hayat Parlimen hanya akan berakhir pada 28 April 2013, tetapi ia boleh dibubarkan pada bila-bila masa dari sekarang.

Perkara penting dalam persiapan itu adalah keperluan peralatan, logistik, pegawai dan petugas pilihan raya, tempat yang akan digunakan sebagai pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi, latihan dan taklimat serta membuat pindaan kepada undang-undang.

Persiapan itu juga mengambil kira pelaksanaan perkara baru seperti dalam syor oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses

Pilihan Raya (SSC) yang telah dipersetujui oleh SPR untuk dilaksanakan dalam PRU13 akan datang. Sebagai contoh pelaksanaan penggunaan dakwat kekal dan pengundian awal. 

Apakah pembaharuan dalam proses undi pos yang masih dipertikaikan?

Pada masa sekarang, Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 hanya menetapkan pengundi di bawah Pengundi Tidak Hadir (PTH) sahaja yang layak untuk mengundi secara pos.

Adakah ia turut dibuka kepada rakyat Malaysia  di luar negara?

Selaras dengan cadangan SSC, SPR sedang meneliti pindaan undang-undang untuk beri kemudahan kepada pengundi di luar negara ini untuk mengundi secara pos mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Mereka ini perlu memenuhi syarat seperti telah mendaftar sebagai pemilih, hendaklah mengemukakan permohonan untuk mengundi secara pos dan pulang ke Malaysia sekali dalam tempoh pentadbiran kerajaan semasa, sebelum tempoh tersebut berakhir.

Enam daripada 32 cadangan SSC tidak diterima. Mengapa ia tidak dapat dilaksanakan?

Sepanjang tempoh enam bulan perjalanan SSC, SPR telah menerima Laporan Awal yang mengandungi 10 syor dan Laporan Akhir yang mengemukakan 22 syor untuk dikaji dan diambil tindakan mengikut kesesuaian dan keupayaan. SPR yang mengadakan Mesyuarat  Khas pada 18 April 2012, telah membincangkan dengan panjang lebar kesemua syor berkenaan secara terperinci bagi mengenal pasti dan menentukan mana-mana syor yang boleh dan mampu dilaksanakan dalam PRU13 akan datang.

Manakala syor yang tidak dapat dilaksanakan dalam PRU13 akan dikaji secara lebih mendalam dan terperinci dari semua sudut Perlembagaan dan undang-undang, peraturan pilihan raya serta kemampuan teknikal dan pengurusan SPR.

Daripada 10 syor dalam Laporan Awal SSC kepada SPR, SPR telah bersetuju untuk melaksanakan tujuh syor itu. Manakala tiga syor dalam laporan awal yang tidak dapat dilaksanakan adalah, pertama seperti pengundi luar kawasan. Syor yang dikemukakan ialah pengundi yang berada di luar kawasan boleh mengundi tanpa perlu kembali ke kawasan pendaftaran asal masing-masing.

SPR tidak dapat melaksanakan syor ini kerana ia bertentangan dengan Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 yang hanya membenarkan pemilih mengundi di bahagian pilihan raya di mana dia didaftarkan. Ia juga bertentangan dengan Perkara 119 Perlembagaan persekutuan berhubung isu ‘mastautin” yang ditetapkan sebagai salah satu syarat kelayakan sebagai pemilih.

Kedua adalah pertukaran kawasan pendaftar. Syornya ialah supaya pertukaran alamat pusat mengundi perlu disertakan dengan akuan berkanun. SPR tidak bersetuju kerana ia akan membebankan pemilih yang hendak membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Ketiga adalah Pengundi Tidak Hadir luar negara. Syor SSC supaya meluaskan kategori pengundi tidak hadir luar negara kepada semua warganegara Malaysia yang layak. SPR tidak bersetuju dengan cadangan supaya meluaskan kategori PTH kepada semua warganegara Malaysia yang berada di luar negara.

Bagaimanapun, SPR bersetuju untuk memberi kemudahan kepada pengundi di luar negara ini untuk mengundi secara pos mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 dengan dibuat pindaan kepada undang-undang yang berkaitan.

Bagi laporan akhir, tiga syor tidak boleh dilaksanakan oleh SPR ialah, pertama, pengundi luar kawasan. Kedua adalah bantahan terhadap Daftar Pemilih yang telah diperakui. SPR tidak dapat melaksanakan syor ini kerana Daftar Pemilih Induk merupakan Daftar Pemilih yang telah melalui pelbagai proses undang-undang sebelum diwartakan.

Ketiga adalah penggunaan alamat selain alamat mastautin untuk mendaftar  sebagai pemilih. SPR tidak dapat melaksanakan syor ini kerana dikhuatiri ia boleh mendorong kepada berlakunya penipuan dan manipulasi oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan politik. Penggunaan alamat selain alamat pada kad pengenalan juga mungkin mendedahkan unsur-unsur penipuan yang sukar dikawal oleh SPR.

Bilakah penambahbaikan yang dicadangkan akan dimulakan?

Daripada 10 syor dalam Laporan Awal SSC, 7 syor akan dilaksanakan dalam PRU13. Tujuh syor tersebut ialah penggunaan dakwat kekal, pengundian awal bagi anggota polis dan tentera, pembersihan Daftar Pemilih, memanjangkan tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan dari 7 hari kepada 14 hari.

Kelima adalah ketelusan proses mengundi iaitu melihat semula susun atur tempat mengundi dan membenarkan mereka yang dipercayai oleh OKU untuk membantu menandai kertas undi dengan syarat warganegara Malaysia dan berumur 21 tahun. Keenam pula adalah pemansuhan proses bantahan pencalonan dan tempoh penarikan pencalonan dan terakhir adalah pengukuhan SPR.

Apakah perkara baru pada PRU13?

Daripada 22 syor yang dikemukakan dalam Laporan Akhir, hanya tiga yang tidak dapat dilaksanakan. Manakala bakinya ada yang akan dilaksanakan oleh SPR dalam PRU13 dan juga ada yang masih dalam kajian lanjut oleh SPR. Antara syor-syor dalam Laporan Akhir yang akan dilaksanakan dalam PRU13 adalah memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas media dan petugas SPR dan memanjangkan tempoh berkempen. Tempoh akan dipanjangkan lebih 10 hari.

Selain itu, SPR akan cuba memastikan akses media yang bebas dan adil. Parti-parti politik akan diberi masa 5-10 minit setiap hari untuk menyiarkan manifesto masing-masing  yang akan disiarkan oleh TV RTM.

Bagi Pembersihan Daftar Pemilih, SPR telah bekerjasama dengan ATM, PDRM, JPN dan Mimos. Penelitian daftar pemilih bagi alamat yang mempunyai pemilih yang ramai. SPR telah pamerkan nama pemilih yang terlibat dalam Laman Sesawang SPR pada Mei 2012, tetapi tiada sambutan. SPR juga telah melaksanakan siasatan di lapangan bagi mengesan pemilih yang terlibat.

Apakah persediaan SPR berhubung dengan faktor cuaca?

Faktor cuaca adalah antara  perkara  yang diambil kira oleh SPR ketika membuat persiapan pilihan raya terutama jika  Parlimen dibubarkan dalam November atau Disember. Sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya, pilihan raya tetap perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan walau dalam apa keadaan cuaca sekalipun. Bagi sesetengah negeri, November dan Disember sering kali dikaitkan dengan musim tengkujuh dan banjir akan berlaku di negeri-negeri tertentu.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman menguruskan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N5 Tenang, Johor pada 2011, SPR akan mengenal pasti pusat mengundi yang mungkin akan mudah dinaiki air apabila berlaku banjir. Ia bagi membolehkan SPR membuat persiapan yang sewajarnya jika pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh.

Dalam hal ini, SPR akan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain agensi kerajaan yang boleh membantu SPR jika berlaku sesuatu bencana alam termasuk  banjir di sesuatu bahagian pilihan raya  semasa pilihan raya diadakan.

Apa penjelasan pihak SPR terhadap pihak-pihak yang mempertikaikan daftar pemilih?

Sebagaimana yang dijelaskan SPR sebelum ini, bahawa pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk membersihkan Daftar Pemilih bagi menyediakan Daftar Pemilih untuk PRU13 yang lebih kemas dan teratur. Dalam urusan pembersihan Daftar Pemilih ini, SPR melakukannya secara berterusan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran negara (JPN), Angkatan Tentera Malaysia, Polis, Jabatan Penjara Malaysia dan Mimos.

SPR juga sentiasa memastikan hanya nama-nama mereka yang benar-benar layak sahaja berada dalam Daftar Pemilih. Pembersihan itu dibuat berdasarkan kepada Peraturan 10 dan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.  SPR juga telah bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan pihak Mimos dalam usaha membersihkan Daftar Pemilih. Perbincangan berterusan dengan pihak Mimos akan diadakan secara berkala.

SPR juga telah mengadakan Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih 2012 untuk menggalakkan pemilih-pemilih berdaftar menyemak maklumat pendaftaran masing-masing. Jika ada yang tidak betul, boleh maklum atau membuat aduan kepada SPR untuk membuat pembetulan. Malahan SPR secara berterusan meminta kerjasama pihak media, parti politik, NGO membantu menghebahkan kepentingan menyemak ini kepada pengundi.

SPR juga telah menyediakan pelbagai saluran untuk pengundi membuat semakan melalui kaedah menelefon, melayari laman web, SMS atau datang sendiri ke pejabat SPR seluruh negara.

Berapa ramai daftar pemilih yang telah dipinda atau dibetulkan?

Berdasarkan statistik, sejak Mac 2010 hingga Ogos 2012, sebanyak 8,452 pembetulan maklumat pemilih telah dibuat oleh SPR berdasarkan aduan yang diterima melalui pelbagai saluran. Pembetulan maklumat tertinggi ialah pembetulan lokaliti sebanyak 5,555 dan diikuti dengan kesilapan nama sebanyak 1,103. [ Rujuk jadual 1 ]

SPR amat berharap pemilih-pemilih berdaftar di seluruh negara dapat menyemak maklumat pendaftaran masing-masing. Jika ada maklumat yang tidak tepat, mereka boleh membuat aduan kepada SPR untuk diperbetulkan.

Dalam proses pembersihan Daftar Pemilih, sepanjang tempoh di antara tahun 2008 hingga Suku Tahun 2 2012, SPR telah membuat pelbagai pemotongan.

Sebanyak 480,229 rekod pemilih telah dipotong dengan jumlah pemotongan yang paling tinggi adalah bagi kategori kematian  iaitu 379,324. Ini  diikuti oleh kategori hilang layak pengundi awam sebanyak 23,431, bersara dari tentera 14,776, masuk tentera 14,548 dan lucut warganegara 12,595.

Sekarang heboh diperkatakan berhubung dana asing yang disalurkan kepada NGO. Adakah SPR sendiri memantau parti yang dikatakan terlibat?

Pertamanya, SPR ingin memaklumkan bahawa, untuk PRU13 akan datang, SPR akan melantik pemerhati pilihan raya tempatan dan akan menjemput pemerhati antarabangsa untuk memantau pilihan raya itu. Bagi pemerhati tempatan, SPR telah pun mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan NGO di peringkat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

SPR juga telah kenal pasti dan menyenarai pendekkan beberapa NGO ini yang akan dilantik sebagai pemerhati. Pelantikan NGO ini adalah kepada badan NGO yang dilihat bersikap berkecuali (neutral) dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik yang bertanding dalam pilihan raya. Di samping pemerhati tempatan, SPR juga bercadang melantik  pemerhati daripada badan pengurusan pilihan raya (EMB) luar negara terutamanya dalam kalangan negara Asean termasuk institusi antarabangsa.

SPR amat mengalu-alukan maklum balas dan pandangan kumpulan pemerhati tentang proses pilihan raya yang dilaksanakan. SPR bersedia terima apa-apa cadangan penambahbaikkan proses pilihan raya negara ini. Proses pelantikan NGO ini dibuat teliti seperti menilai latar belakang pertubuhan bagi memastikan mereka berkecuali dalam memantau perjalanan pilihan raya membabitkan 222 kawasan Parlimen.

Persoalan mengenai dari mana datangnya dana yang diperoleh atau digunakan oleh NGO ini, SPR tidak ada kuasa untuk menyiasat perkara itu. SPR juga tidak memberi sebarang peruntukan kepada pemerhati bebas ini bagi memastikan mereka ini bebas dalam membuat pemantauan. Jika SPR memberi dana, dikhuatiri akan wujud laporan yang bias kepada pemberi dana dan pemantauan itu juga berkemungkinan tidak akan mencapai objektif yang ditetapkan.

Dua individu Hassannuddin bin Manna dan Salleh bin Samsul dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendaftar sebagai pemilih. Komen Tan Sri?

Sebelum ini Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ada membuat dakwaan seperti yang dilaporkan dalam Suara Keadilan bahawa  Hassannuddin bin Manna telah mendaftar sebagai pemilih menggunakan kad pengenalan palsu. Beliau dikatakan memiliki kad pengenalan palsu dan kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Pusat Kota Kinabalu, tetapi masih menjadi  pengundi yang sah.

Semakan SPR mendapati dakwaan itu tidak benar sama sekali. Semakan SPR dengan JPN mendapati Hassannuddin bin Manna adalah seorang warganegara dan memiliki kad pengenalan yang sah. Oleh itu, tidak timbul isu beliau mendaftar menggunakan kad pengenalan palsu. Berdasarkan rekod dalam Daftar Pemilih, beliau mendaftar sebagai pada 13 April 2007 di Parlimen Sepanggar, Sabah.

Mengenai dakwaan mengatakan beliau telah ditangkap dan dipenjarakan, siasatan SPR mendapati individu yang dipenjarakan adalah individu lain, iaitu Montasir Juwak Hasan yang berasal dari Filipina dan menetap di Kampung Kalansanan Inanam, Sabah. Dalam pertemuan beliau dengan pegawai SPR di Penjara Pusat Kota Kinabalu, beliau mengaku menggunakan dokumen yang dimiliki oleh Hassannuddin bin Manna dan digunakan tanpa pengetahuan pemilik sebenarnya. Beliau juga mengaku tidak mengenali pemilik sebenar kad pengenalan yang digunakan. Beliau juga turut mengakui membeli kad pengenalan itu melalui seseorang setahun lalu dengan harga RM1,000.

Mengenai dakwaan bahawa Salleh bin Samsul, warganegara asing dari Filipina yang berdaftar sebagai pemilih yang menggunakan MyKad palsu seperti didakwa oleh Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang disiarkan dalam beberapa blog, semakan SPR dengan JPN mengesahkan bahawa beliau adalah seorang warganegara dan memiliki kad pengenalan yang sah. Berdasarkan rekod SPR, beliau mendaftar sebagai pemilih pada 9 April 1993 di Parlimen Pasir Gudang.

Fuziah dalam dakwaannya mengatakan Salleh bin Samsul telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun pada 20 September 2010. Namun siasatan SPR dengan mengunjungi keluarga Salleh bin Samsul mendapati dakwaan itu tidak benar.

Berdasarkan maklumat daripada isteri beliau dan dokumen yang ditunjukkan didapati antara Jun 2010 hingga April 2011 beliau bekerja sebagai jurukimpal dengan Syarikat Kencana Petroleum. Adalah tidak mungkin orang yang sama boleh berada di dua tempat iaitu di penjara dan bekerja dalam satu masa.

Bagi kes Hassannuddin Manna dan Salleh Samsul, ada individu lain yang menyamar menggunakan identiti kedua-dua orang pemilih berdaftar ini dan mereka itu bukan individu yang mendaftar sebagai pemilih dengan SPR.

Tiada ulasan: