Jumaat, 5 Oktober 2012

Nelayan Pengerang rayu bancian dipercepatkan

FREE MALAYSIA TODAY

Menurut mereka, jika lambat membuat bancian, akan lambatlah pampasan diperolehi.


PETALING  JAYA: Beberapa nelayan di Pengerang, Johor yang terlibat dengan projek mega petro kimia bernilai RM60 bilion mendakwa nama mereka belum dibanci untuk mendapatkan pampasan kerajaan negeri.

Menurut mereka jika lambat membuat bancian, akan lambatlah pampasan diperolehi.

“Saya mendapat tahu sekumpulan nelayan yang terbabit dengan bancian awal sudah mendapat pampasan bernilai RM30, 000 sekeluarga.

“Cuma kami tidak tahu bila kami semua akan mendapat pampasan kerana saya mendapat tahu nelayan akan dipindahkan awal tahun depan,” kata Ramli Ahmad.

Manakala seorang nelayan lain memberitahu, memandangkan mereka berpendapatan rendah, pihak berkenaan perlu mengutamakan nasib golongan tersebut.

Zulkifli Ibrahim berkata, wakil-wakil rakyat di Pengerang kena turun padang untuk melihat sendiri masalah nelayan.

`Tidak nampak muka wakil rakyat’


“Bila lagi kami hendak dibanci kerana masa untuk berpindah sudah hampir…hanya beberapa bulan lagi.

“Saya tidak nampak muka wakil rakyat datang,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pengerang, Abu Bakar Mohamad memberitahu, pihaknya hanya membuat bancian terhadap nelayan yang menjadi ahli persatuan.

Manakala yang tidak menjadi ahli diuruskan oleh pejabat ADUN dan Parlimen,  katanya lagi.
“Tetapi kami telah membanci kira-kira 3, 000 keluarga nelayan tetapi untuk yang lain belum diketahui tarikhnya,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: