SABAH KINI |
SHAH
ALAM : Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara
enam tahun dan denda RM400,000 terhadap Anggota Parlimen Sabak Bernam
Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya Rosli Busro yang didapati
bersalah atas lapan pertuduhan melakukan tuntutan palsu melibatkan
RM80,000; empat tahun lepas.
Hakim Datuk Akhtar
Tahir membuat keputusan itu selepas menolak rayuan mereka untuk
mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah
Sesyen di sini, Azhaniz Teh Azman Teh, pada 1 Mac lepas.
Akhtar
turut menolak permohonan Abdul Rahman dan Rosli untuk penangguhan
pelaksanaan hukuman sebaliknya memerintahkan mereka menjalani hukuman
penjara bermula hari ini.
Dalam
penghakimannya, Akhtar berkata Abdul Rahman (foto fail) menghadapi
lapan pertuduhan membuat tuntutan palsu ketika menjadi Anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar sementara Rosli didakwa
bersubahat dengannya melakukan kesemua kesalahan itu.
Beliau
berkata peguam perayu berhujah bahawa keterangan dua saksi terpenting
dalam kes itu iaitu Mohd Harmizar Sulaiman dan Rizam Ismail tidak
sepatutnya diterima oleh mahkamah atas alasan kedua-dua mereka merupakan
rakan sejenayah.
“Saya
telah baca keterangan kedua-dua saksi itu dan saya tidak anggap bahawa
mereka rakan sejenayah. Mereka lebih merupakan pak turut atau menurut
apa-apa yang diminta oleh tertuduh pertama (Abdul Rahman) dan tertuduh
kedua (Rosli).
“Kalaupun
kedua-dua saksi ini dikatakan sebagai rakan sejenayah tetapi keterangan
mereka telah disokong oleh keterangan saksi bebas lain.
“Justeru
saya berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan
apabila menerima keterangan kedua-dua saksi ini. Jelas daripada
keterangan mereka bahawa kedua-dua tertuduh jelas mempunyai niat untuk
membuat tuntutan palsu,” katanya.
Akhtar
berkata perkara itu terbukti apabila wang yang diterima bukan digunakan
untuk program atau aktiviti seperti dalam tuntutan tetapi lebih kepada
untuk kegunaan sendiri.
“Peguam
tertuduh juga berhujah bahawa tuntutan berkenaan bukan palsu kerana
program berikut telah diadakan tetapi bukan di tempat yang dinyatakan
seperti dalam tuntutan itu. Bagaimanapun saya lebih cenderung menyatakan
ia adalah tuntutan palsu.
“Dalam
rayuan ini saya puas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat
sebarang kesilapan bila mendapati kedua-dua tertuduh bersalah atas semua
tuduhan dan hukuman juga adalah setimpal dengan kesalahan serta jawatan
kedua-dua tertuduh. Justeru rayuan terhadap sabitan serta hukuman
ditolak dan hukuman dikekalkan,” katanya.
Abdul
Rahman dan Rosli diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah
dan Badrul Munir Mohd Bukhari sementara Ketua Unit Pendakwaan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa dan
Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Zaki Salleh mewakili pihak responden.
Abdul
Rahman, 47, didakwa menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat
Adun mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak
pernah dijalankan.
Tuntutan
itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program
Motivasi Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar;
Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda
Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra
Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga
Guru Kemas.
Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.
Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb, 2008.
Bagi
setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta
Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama
yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang
lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika
sabit kesalahan.
Rosli, 44, pula didakwa bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu. (Bernama)
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan