Beberapa
Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hari ini menggesa
kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik
(AES) bagi mengesan pesalah lalu lintas kerana mendakwa ia membebankan
pengguna jalan raya.
Perkara itu pada mulanya dibangkitkan Sim Tong Him
(DAP-Kota Melaka) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013
di Dewan Rakyat, yang berpendapat sistem penguatkuasaan itu sepatutnya
masih dalam tempoh percubaan.
“Kita
tahu AES adalah untuk mengurangkan kemalangan tetapi adalah wajar juga
untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenainya. Kita tidak
mahu ia menjadi satu perangkap atau untuk mengaut keuntungan,” katanya.
AES adalah
sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi
yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan
meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta
mampu mengurangkan kemalangan maut.
Fasa
pertama pelaksanaan AES mulai 23 September lalu, mengenal pasti 63,558
pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu
melebihi had laju atau melanggar lampu merah.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika mencelah berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES.
“Sebelum ini dah tiga kali tangguh tapi bila dilaksanakan kita lihat lebih kepada membebankan rakyat.
“Sebelum ini dah tiga kali tangguh tapi bila dilaksanakan kita lihat lebih kepada membebankan rakyat.
“Kalau boleh kita harap kerajaan dapat turut mansuhkan saman lebih 60,000 pesalah trafik yang dikenal pasti menerusi AES ini,” katanya.
Datuk
Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pula mencadangkan lebih banyak papan
tanda amaran diletakkan di lokasi-lokasi AES supaya pengguna jalan raya
lebih berhati-hati.
Fong Po
Kuan (DAP-Batu Gajah) yang bangun menyokong, mahu kelemahan pelaksanaan
AES dikaji semula supaya ia tidak memberi tekanan kepada pemandu.
“Kita
bukan menggalakan orang memandu laju tetapi mekanisme pelaksanaan AES
perlu dikaji semula supaya tidak membebankan dan memberi tekanan kepada
mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan