Khamis, 11 Oktober 2012

Genting Bhd didakwa miliki saham FGV

KL TODAY

 

Genting Berhad digesa memberi penjelasan sama ada pihaknya memiliki atau pernah memegang saham Felda Global Ventures Holding (FGV), atau sebaliknya.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ekoran penafian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, baru-baru ini.

Menurut Mazlan, sekiranya benar Genting Berhad tidak mempunyai sebarang pegangan saham dalam FGV, syarikat besar itu boleh menafikan secara jelas berhubung dakwaan tersebut.

“Tapi, hingga saat ini, tiada sebarang pendirian atau jawapan daripada Genting Berhad bagi mengesahkan atau menafikannya.

“Sedangkan, Ahmad mengatakan tidak ada satu peratus pun saham Genting dalam FGV ketika menafikannya,” tegas beliau pada satu sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Pada sidang media itu juga, Mazlan turut menunjukkan statistik yang dikeluarkan Bloomberg Peers, yang tertera syarikat terbabit memiliki 407, 005, 000, yang jika dijumlahkan bernilai hampir RM 2 bilion.

Sementara itu, Mazlan turut mendesak Ahmad agar memikirkan secara serius berhubung kedudukan saham FGV yang kini berada pada tahap RM 4.75.
“Dari bicara soal remeh seperti status Anak, adalah lebih baik beliau dan kerajaan berfikir mekanisme terbaik bagi membantu pemegang saham, khususnya para peneroka,” tegas beliau lagi.

Tiada ulasan: