SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengadakan siri jelajah penerangan isu kutipan hutang Talam Corporation Bhd (Talam) ke seluruh negeri bermula pada 13 Oktober di Kajang.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, siri jelajah ini bakal diadakan secara serentak pada setiap malam Sabtu.
Setiap empat jurucakap rasmi yang dilantik Kerajaan Negeri akan berada di tempat berbeza untuk menyampaikan pembentangan mengenai proses kutipan hutang Talam.
Empat jurucakap itu ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Selayang William Leong, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin.
“Kita juga akan menerangkan juga bagaimana hasil kutipan ini dikembalikan semula kepada rakyat Selangor menerusi program-program di bawah Geran Selangorku bagi membaiki infrastruktur dan kemudahan asas lain.
“Kerajaan Negeri berharap supaya rakyat Selangor yang masih belum memahami isu Talam ini menghadiri sesi penerangan tersebut.
“Pembentang akan menerangkan dari awal hutang ini terjadi sehinggalah kaedah yang digunakan untuk mengutip kesemua hutang RM392 juta,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khalid turut memaklumkan, kertas putih mengenai kutipan hutang Talam bersama-sama laporan audit KPMG telah diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS).
Menurutnya, kertas putih ini akan dihebahkan kepada umum selepas dibentangkan dalam sidang DNS pada 19 November depan.
Dalam perkembangan lain, katanya, Kerajaan Negeri masih menunggu perkenan DYMM Sultan Selangor berhubung cadangan mengadakan sidang khas dewan sebelum 19 November.
Beliau berkata, sekiranya cadangan itu mendapat perkenan Tuanku Sultan, maka kertas putih mengenai kutipan Talam akan dibentangkan bersama-sama dokumen penstrukturan semula air.
“Kertas putih penstrukturan semula air ini mengandungi segala dokumen hasil perbincangan dengan Kerajaan Pusat dan surat menyurat yang menunjukkan Kerajaan Negeri amat komited untuk mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.
“Laporan mengenai Program Pendemokrasian “Selangorku Bersih” juga akan dibentangkan pada sidang khas dewan ini.
“Selepas pembentangan tersebut, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan hasil kajian yang menemui 110,000 nama pengundi yang diragui dan gagal dikesan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan