SHAH ALAM : Penduduk di kawasan Klang diminta bersedia berikutan fenomena ‘Astronomical Tide’ dijangka akan berlaku bermula 15 hingga 18 Oktober ini dan dilaporkan akan membawa kadar hujan yang agak mendadak terutama di kawasan terbabit.
Pemangku Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK),Ehsan Mukri berkata, pihaknya menerima maklumat awal daripada Jabatan Laut Malaysia dan meminta orang ramai untuk berwaspada menjelang fenomena yang dijangka berlaku minggu depan itu.
Menurutnya, fenomena itu juga menyebabkan kejadian ribut dan berkemungkinan air sungai akan mencecah 5.6 meter serta menyebabkan banjir kilat di kawasan ini kelak.
“Penduduk diingatkan untuk berjaga-jaga dan membuat persiapan awal dan pada masa yang sama memberi kerjasama kepada MPK dalam menghadapi banjir kali ini.
“Antara yang perlu dilakukan ialah kebersihan perlu dijaga termasuk penyelenggaraan longkang yang sistematik di halaman masing-masing agar tidak tersumbat dengan sampah sarap akibat faktor sekeliling,” katanya dalam kenyataan media.
Ehsan berkata, MPK akan membuat pemantauan dan persiapan rapi bagi menghadapi fenomena Astronomical Tide dan setiap jabatan terlibat bersedia melalui kepakaran masing-masing untuk kemungkinan yang bakal berlaku kelak.
Menurutnya, orang ramai diminta untuk segera menghubungi talian bebas tol 1 800 88 23626 atau 33716044 / 4404 untuk sebarang kes kecemasan berkaitan fenomena itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan