SINAR HARIAN
JAKARTA - Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di fakulti perubatan
sebuah universiti di Yogyakarta ditahan Polis Indonesia pada Sabtu lalu
kerana memiliki ganja seberat 6.8 gram.
Pelajar lelaki berusia 22 tahun itu ditangkap sepasukan Polis Cawangan
Narkotik di Jalan Kaliurang, Daerah Sleman, Yogyakarta, sejurus selesai
transaksi pembelian dadah tersebut dengan harga Rp300,000 (kira-kira
RM100).
Dimaklumkan pelajar itu memesan bahan tersebut melalui laman sembang Internet.
Penangkapan pelajar itu susulan maklumat awam dan polis yang membuat
intipan menemui dadah tersebut padanya dalam bungkusan kertas surat
khabar lama.
Polis Daerah Sleman sedang menyiasat lebih lanjut kes itu, termasuk
bagi membongkar jaringan pengedaran dadah dalam kalangan mahasiswa.
Jika sabit kesalahan, pelajar itu boleh dikenakan hukuman penjara
sehingga 12 tahun di bawah Fasal 111 dan 115 Undang undang Narkotik
Republik Indonesia.
Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia, Prof Madya Dr Juzhar
Jusoh berkata pelajar berkenaan memegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA).
Keluarga pelajar itu telah mengetahui mengenai kes berkenaan dan ibunya telah berada di Yogyakarta sejak hari Sabtu itu.
"Pihak EM Indonesia melalui bantuan Atase Konsular dan Imigresen serta
Atase PDRM Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memulakan proses
bantuan supaya beliau mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya,"
katanya di sini.
Dr Juzhar berkata pihaknya dengan bantuan pemimpin persatuan pelajar
Malaysia juga memantau kebajikan dan kesihatan pelajar itu semasa dia
ditahan di Balai Polis Daerah Sleman.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan