Rabu, 10 Oktober 2012

Ayuh... tolak BN dalam PRU-13, hak rakyat Sabah "hilang" dicelah Bajet



Oleh Hamzah Abdullah

PAS Sabah merasa kesal dengan pembentangan Bajet 2013 yang langsung tidak mengembil kira hak kebajikan rakyat negeri ini. Bagi pihak rakyat Sabah, saya telah meneliti kandungan bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, dan merumuskan bahawa yang akan 'kenyang' daripada dentuman bajet ini hanya pemimpin Umno-BN.

Rakyat Sabah, khususnya pribumi Sabah, yang rata-rata masih berada dibawah paras miskin hanya bakal menerima tangki-tangki air dan keperluan asas yang hanya  boleh bertahan paling lama lapan bulan.  Sebanyak 40,000 tangki air yang bakal diagih-agihkan kepada orang-orang kampung hanya "menggemukkan" pembekal yang tentunya kroni-kroni Umno-BN mempunyai saham dalamnya iaitu dalam bentuk komisyen. 
Tangki air ini hanya mempunyai jangkahayat paling lama lapan bulan kerana ianya jenis yang rendah kualiti. Umno-BN jangan fikir rakyat masih bodoh dan boleh diperbodohkan seperti zaman sebelum wujudnya ICT. Sekarang kita berada pada era dimana maklumat berada dihujung jari. 
Rakyat Sabah masih tidak lupa dengan teguran Ketua Audit Negara bagaimana peralatan sekolah dan alat kelengkapan tentera seperti teropong telah dibeli dengan harga sehingga melonjak 1000 peratus dari harga asal! Ini lah yang mesti rakyat sedar dan usah teruja terhadap pembentangan yang masih jauh dari jangkauan kita.
PAS Sabah menuntut supaya dipulihkan semula Saham Amanah Tun Mustapha yang telah diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Mustapha di era pemerintahan Usno. Almarhum Tun Mustapha adalah pemimpin Sabah pertama yang mempunyai ciri-ciri pemimpin seorang yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kebajikan rakyat Sabah. 
Di zaman Tun Mustapha jugalah pelajar-pelajar Sabah yang cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke UK atau Australia diperingkat A-Level dan seterusnya ijazah dengan pembiayaan wang Yayasan Sabah, yang mempunyai konsesi balak pemberian Kerajaan Negeri. 
Almarhum Tun Mustapha juga telah menggunakan wang kerajaan Negeri bagi membiaya kos menunaikan haji bagi jemaah haji Sabah, termasuk membiayai guru-guru agama yang bertauliah untuk mengajar disekolah-sekolah agama seluruh Sabah. Pelajar-pelajar cemerlang dari sekolah menengah akan di hantar ke Semenanjung bagi meneruskan pengajian di Tingkatan Empat dan Enam juga dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sabah.
PAS Sabah menuntut supaya Dato' Pairin Kitingan mengambil tanggungjawab sepenuhnya diatas pemansuhan Amanah Tun Mustapha kerana di zaman PBS lah amanah saham ini telah dihentikan! PAS Sabah seterusnya mencabar Pairin supaya "cakap serupa bikin" kalau benar dia bersetuju dengan slogan "rakyat didahulukan". 
Ini masanya kehendak rakyat diutamakan memandangkan Pairin masih berkuasa didalam Kerajaan Umno-BN Sabah sekarang setelah partinya tewas pada 1994. PAS Sabah menuntut supaya pembayaran amanah saham ini dibuat dengan mengambil kira tahun ianya dimansuhkan iaitu sekitar tahun 1988. 
Ertinya rakyat Sabah berhak mendapat saham ini  untuk tempoh ianya tertunggak sejak 1988 yang bererti selama 24 tahun. Kalau setiap tahun rakyat Sabah yang layak mendapatnya berjumlah RM200 setiap tahun, maka setiap seorang rakyat yang layak mesti diberikan hak mereka berjumlah RM4,800.00. PAS Sabah akan membawa isu ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pakatan Rakyat yang akan datang bagi diterima sebagai sebahagian daripada manifesto pilihanraya.

Tiada ulasan: