DETIK DAILY |
Niat utamanya ialah bagi memberitahu rakyat betapa Pakatan Rakyat belum bersedia untuk memerintah negara kerana mereka tiada kabinet bayangan seperti yang diuar-urakan oleh Najib sehari dua ini.
Apa yang jelas, Najib sepatutnya mengamalkan apa yang beliau katakan dan tidak berat sebelah, hanya mahukan kabinet bayangan daripada Pakatan Rakyat
semata-mata. Sedangkan BN juga amat wajar mengarahkan BN di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor untuk membentangkan kabinet bayangan mereka sekiranya BN bersungguh mahu menawan kembali negeri-negeri tersebut.
Najib terlupa barangkali, BN juga ada negeri yang tiada diketahui
kabinetnya dan mereka cukup takut untuk mengumumkan barisan kepimpinan
kabinet itu, khuatir akan menimbulkan porak peranda dalam komponen
tersebut. BN sebenarnya lebih teruk daripada Pakatan Rakyat kerana BN
bukan sahaja tidak mempunyai kabinet bayangan untuk negeri-negeri yang
dikuasai oleh Pakatan tetapi juga tidak melantik calon Menteri Besar di
Selangor, Kelantan dan Kedah sehingga saat ini.
Sungguhpun BN berbohong bahawa Pakatan tiada bakal Perdana Menteri,
tetapi Pakatan telah pun bersepakat dan bersetuju bahawa Perdana Menteri
Malaysia adalah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pakatan tidak pernah
berdolak-dalik dalam isu ini. Ia disepakati dan ini diketahui oleh
rakyat. Maka tiada perlunya kabinet bayangan digembar-gemburkan oleh
Pakatan sementara belum membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Pakatan Rakyat telah menggunakan pendekatan unik untuk kabinet bayangan
dengan melantik tiga orang daripada setiap parti (PAS, DAP dan
KeADILan) bagi setiap portfolio kementerian. Jika Najib dan Umno-BN
memahami hal ini, maka tiada timbul isu kabinet bayangan melainkan
dengan sengaja dibangkit untuk menimbulkan amarah rakyat.
Ini menunjukkan yang pemimpin Pakatan Rakyat bukan gilakan kuasa
tetapi dahagakan dasar yang bermanfaat untuk kebaikan rakyat. Sebelum
menang, tidak perlu diuar-uarkan kabinet bayangan seperti yang diminta
oleh Najib. Jika kabinet bayangan diumumkan pula, sudah pasti Najib
akan menuduh Pakatan Rakyat "gila kuasa" dan ini sebenarnya yang
dimahukan oleh Najib agar Pakatan melatah dan melompat.
Budaya politik baru oleh Pakatan dengan dasar berkesan berpaksikan
rakyat, amat berbeza dengan dasar memuja tokoh Umno-BN yang mengkayakan
kroni. Bagi Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim pula melihat
persoalan yang ditimbulkan Najib itu sepatutnya dimulai oleh beliau
untuk negeri-negeri yang Umno-BN tewas dalam pilihan raya lalu.
Najib tidak mengumumkan siapa Menteri Besar Selangor jika BN berjaya
merampas kembali negeri tersebut. Kenapa tidak umumkan? Amat wajar
sebelum menyentuh batang tubuh Pakatan, maka Najib boleh mengumumkan
bakal MB Selangor jika BN menang kelak.
"Masalah kabinet bayangan, (ada) Datuk Seri Najib umum siapa Menteri
Besar Selangor? (Ada) Dia umum siapa Menteri Kewangan lepas dia menang?
Tak ada…," katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas
perbahasan Bajet 2013, 1 Oktober lalu.
Sebenarnya kabinet bayangan yang dicabar Najib supaya Pakatan
menubuhkannya adalah amalan negara yang mengamalkan demokrasi
berparlimen. "Kabinet bayangan hanyalah amalan di United Kingdom, di
Australia, tidak di Perancis, di Amerika, tidak di Indonesia dan
Thailand."
Pakatan sudah menyediakan senarai nama pimpinan kanan sebagai
persediaan jika mengambil alih Putrajaya nanti. Ia sepatutnya telah
diketahui oleh Najib, sebagai pemimpin lawan kepada Pakatan. Tetapi
dengan sengaja Najib memadamkan hal itu, bagi memperlekehkan Pakatan di
mata rakyat yang kian menolak kepimpinan Umno-BN dalam negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan