Jumaat, 25 November 2011

PKR akan ‘roboh tembok penjara’ jadikan Anwar PM, kata Azmin

TERKINI



Sasterawan Negara Datuk Samad Said (tiga dari kiri) menghadiri majlis perasmian Kongres AMK dan Wanita PKR hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
PULAI — Menggambarkan sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini berkata, partinya akan memastikan Ketua Pembangkang itu bebas penjara bagi mengetuai kerajaan pusat Pakatan Rakyat (PR).

Berucap merasmikan secara serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan Rakyat dan Wanita PKR 2011, Azmin berkata, perikatan pembangkang itu telah mencapai konsensus bahawa Anwar, yang kini berhadapan dengan tuduhan meliwat yang kedua, akan menjadi Perdana Menteri ketujuh negara.

“Sesiapa yang berkonspirasi untuk memenjarakan Anwar Ibrahim, kami (sayap) Pemuda dan Wanita akan bangun dan merobohkan tembok penjara untuk membebaskan beliau,” kata beliau dalam ucapan dasar yang disambut dengan sorakan 1,600 perwakilan.

Azmin yang juga Ketua PKR Selangor berkata pihaknya mahu memberi peringatan keras kepada Umno bahawa apa pun konspirasi, PKR keadilan akan bangkit menentang untuk memastikan Anwar tidak dipenjarakan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar penggulungan hujah pada 8 Disember ini manakala pilihan raya umum ke-13 pula disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Harapan Anwar untuk menjadi perdana menteri kemungkinan tidak menjadi kenyataan jika beliau disabitkan kesalahan atas tuduhan itu yang membawa hukuman penjara 20 tahun.

Anwar dikenakan hukuman penjara sembilan tahun pada 2000 tetapi Mahkamah Persekutuan mengetepikannya pada 2004.

Beliau bertanding dalam pilihan raya kecil pada Ogos 2008 di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Awal bulan ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika PR membentuk kerajaan pusat jika pun dipenjarakan.

Sebelum ucapan perasmian, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said turut hadir dan mendeklamasikan puisi bertajuk “Lidah Ibu”.

Tiada ulasan: