Jumaat, 25 November 2011

Pemuda PKR: Pakatan perlu disiplin, elak beri BN ‘peluru’

THE MALAYSIAN INSIDER

PULA — Angkatan Muda PKR berkata Pakatan Rakyat perlu menunjukkan disiplin dengan tidak memberi ruang kepada Barisan Nasional (BN) untuk menyerang perikatan berusia tiga tahun itu khususnya ketika hendak menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, para kuasawan dan anggota parti dalam Pakatan Rakyat harus ada komitmen kepada perikatan tersebut.

“Pandangan-pandangan yang disuarakan harus ditimbang dengan sebaiknya dan jangan sampai menjejaskan mana-mana segmen dalam Pakatan Rakyat,” kata beliau dengan merujuk kepada isu jumlah kakitangan awam baru-baru ini.

“Antara isu yang merugikan Pakatan Rakyat ialah cadangan mengurangkan jumlah kakitangan awam. Ini sama sekali tidak berasas kepada realiti,” katanya lagi.

Isu itu dibangkitkan oleh pemimpin DAP awal bulan ini dan dijadikan model politik oleh Umno-BN dan media mereka.

Dalam ucapan dasarnya pada Kongres AMK di sini hari ini, Shamsul berkata, “kita percaya saiz kerajaan adalah terlalu besar.”

“Namun untuk mengecilkannya perlu dikurangkan lantikan politik, bukan jumlah kakitangan awam.

“Jumlah kementerian misalnya adalah terlalu banyak, bukan pada kadar yang sesuai dengan jumlah penduduk,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, Pakatan Rakyat harus memberi perhatian kepada isu sebenar dan mengemukakan cadangan jitu tanpa membuka ruang untuk dimanipulasi media BN.

“Kita mahu membebaskan Malaysia daripada cengkaman Barisan Nasional. Dengan segala kepincangan yang dilakukan, BN, Malaysia tidak akan mampu terus bertahan. Di bawah BN, Malaysia akan bankrap,” katanya lagi.

Shamsul Iskandar menambah, ini bukan masanya untuk terus memanaskan kerusi pembangkang di Dewan Rakyat atau menang di beberapa kawasan dan negeri tertentu.

“Demi Malaysia, demi rakyat, kita mesti menang dan membentuk kerajaan reformasi di Putrajaya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: