Jumaat, 25 November 2011

RUU Perhimpunan Aman: Satu lagi akta drakonian

Juham


Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam dan membantah usul Kerajaan untuk memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2011.

JUHAM berpandangan bahawa akta tersebut hanya seperti menanam tebu di tepi bibir, manis di mulut tetapi hakikatnya membawa bencana dan malapetaka besar kepada hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Akta itu mempunyai nama yang menarik tetapi hakikatnya lebih teruk daripada kawalan sedia ada yang dikenakan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Akta ini jelas mengongkong kebebasan rakyat untuk berhimpun dengan sekatan dan syarat-syarat yang amat zalim, tidak munasabah dan tidak pernah difikirkan oleh rakyat yang waras. Tujuannya bukanlah untuk mememudahkan sesuatu perhimpunan itu dibuat tetapi sebenarnya ialah untuk menghalang terus himpunan dari diadakan.

Jika di bawah Akta Polis 1967, sekurang-kurangnya hanya perhimpunan di tempat awam yang dikenakan permit, tetapi di bawah akta baru ini mensyaratkan bahawa semua perhimpunan walaupun di premis persendirian atau disewa perlu diberi notis makluman awal kepada polis iaitu 30 hari sebelum tarikh himpunan yang dicadangkan itu hendak dibuat.

Seksyen 9(5) Akta tersebut membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000 sekiranya tiada notis awal diserahkan kepada polis sebelum perhimpunan tersebut diadakan.

Peruntukan ini amatlah tidak munasabah kerana kebanyakan himpunan aman rakyat adalah berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dan memerlukan tindakan yang segera.

Inilah prinsip demokrasi dan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tetapi malangnya hak-hak yang masih berbaki sedikit inipun cuba dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.

Inikah transformasi yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri atau transformasi yang dibuat hanya untuk mengubah Negara menjadi Negara diktator dan kuku besi?

Akta baru juga melarang individu di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman. Ini tentulah merujuk secara khusus kepada para mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi negara.

Apalah malang nasib para siswa-siswi di negara ini, sudahlah dikongkong teruk oleh Auku, sekarang akta drakonian yang baru diperkenalkan ini pula meragut terus hak-hak asasi mereka untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman. Kerajaan benar-benar memperlekeh dan memperbodohkan terus keintelektualan para mahasiswa dan mahasiswi kita.

Seksyen 21(3) pula membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000, jumlah yang sangat tidak munasabah berbanding RM2,000 sekarang sedangkan kesalahan berhimpun bukanlah merupakan satu kesalahan jenayah yang serius. Banyak lagi peruntukan lain yang tidak munasabah dimasukkan di dalam akta baru ini.

Kelemahan yang ada ini disebabkan sikap ego kerajaan yang enggan mendengar pendapat ramai supaya segala undang-undang baru yang berkaitan hak-hak asasi rakyat patut dirunding secara konsultasi bersama.

Oleh itu, JUHAM menggesa agar kerajaan menarik balik akta ini dengan segera dan berunding dengan rakyat terlebih dahulu sebelum memperkenalkan apa-apa undang-undang yang zalim seperti ini dan menyekat kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI

Pengarah,

Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: