Rabu, 30 November 2011

PSC: Benarkan semua warga di luar negara mengundi


Nigel Aw
Warganegara Malaysia yang menetap di luar negara harus dibenarkan akses untuk mengundi sebagai pengundi tidak hadir, kata laporan awal Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

NONE"Jawatankuasa mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk meluaskan kategori pengundi tidak hadir luar negara kepada semua warganegara Malaysia yang layak," petik laporan itu.

Ini berlaku di sebalik memorandum MCA yang menegaskan bahawa parti itu tidak menyokong cadangan untuk membenarkan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara, mengundi pada pilihan raya umum.

Buat masa sekarang, hanya kakitangan awam dan isteri-isteri mereka serta pelajar di luar negara dibenarkan akses bagi mengundi sebagai pengundi tidak hadir.

Dalam laporan awal itu, PSC juga mencadangkan pengundian awal dan bukannya pengundian pos bagi anggota tentera dan pasangan mereka serta juga bagi anggota polis.

Walau bagaimanapun, pengundian pos masih dibenarkan berdasarkan permohonan bagi anggota tentera dan polis tertentu, tetapi pasangan mereka tidak akan diberikan keistimewaan itu.

Laporan itu juga menambah bahawa pengundian awal juga perlu diperluaskan kepada anggota Suruhanjaya Pilihan Raya yang bertugas, jururawat, doktor dan wartawan.

"Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR membolehkan pengundi luar kawasan (yang kawasan pengundian mereka di Sabah dan Sarawak tetapi bermastautin di Semenanjung Malaysia dan sebaliknya) untuk mengundi tanpa perlu kembali ke kawasan pendaftaran asal masing-masing ke sana pada hari mengundi," petik laporan itu.

Tiada ulasan: