MALAYSIA CHRONICLE
KUALA LUMPUR — Meskipun Datuk Seri Najib Razak sudah memulakan kempen prapilihan raya dengan siri pengumuman transformasi politik, pemimpin-pemimpin politik khususnya pembangkang melihat pendekatan ‘mesra’ itu boleh terhakis dengan dakwaan kelemahan pentadbiran dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan sejak kebelakangan ini.
Susulan perutusan Hari Malaysia, Perdana Menteri memansuhkan tiga deklarasi darurat, mahu membawa dua akta baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menggugurkan Seksyen 27 Akta Polis dengan undang-undang berkaitan dengan perhimpunan aman, membentuk jawatankuasa pilihan khas mengkaji sistem pilihan raya dan memberi kebebasan kepada penuntut institusi pengajian tinggi menyertai politik dengan memansuhkan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Bagaimanapun isu projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menggunakan dana awam RM250 juta dan kadar inflasi 3.4 peratus bagi tempoh dua bulan berterusan kekal sebagai satu cabaran kepada pentadbiran Najib meskipun mencatatkan populariti peribadi pada paras 59 peratus.
“Dengan Pakatan Rakyat menggunakan skandal NFC dengan maksmum (dalam pertemuan) dengan komuniti kawasan luar bandar, ditambah dengan kenaikan harga barang dan pendapatan pula kekal tidak berubah, kemungkinan tsunami senyap di kubu kuat tradisi Barisan Nasional (BN) tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua kepada The Malaysian Insider.
Laporan Ketua Audit Negara 2010 menggambarkan projek NFC sebagai sesuatu yang bermasalah.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa dana NFC juga digunakan untuk perbelanjaan peribadi keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jali dan projek itu digambarkan sebagai satu kegagalan.
Pua (gambar) berkata pengumuman-pengumuman besar oleh Najib tidak membawa harapan besar ke atas pembaharuan yang mahu dibawanya memandangkan perdana menteri itu tidak memberi penekanan ke atas isu-isu yang diketengahkan oleh Ketua Audit Negara.
Sebagaimana disaksikan ketika kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pua menggambarkan Najib sebagai pemimpin yang cuba mengelak daripada mengambil pendirian jelas dalam isu-isu utama.
“Paras popularitinya tidak tinggi sangat berbanding Abdullah Badawi sebelum pilihan raya umum lalu, jadi saya tidak akan terkejut jika keputusan pilihan raya umum akan datang, sekali lagi mengatasi jangkaan banyak pihak termasuk Najib dan Umno sendiri,” kata wakil rakyat DAP ini.
Pendekatan ekonomi Najib yang bersifat “meleleh”, kata Pua, tidak membantu menangani persekitaran ekonomi yang sukar dan pemberian wang tunai dan pengumuman “projek mega” tidak banyak membantu rakyat biasa negara ini.
Kerajaan mempertahankan paras pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus pada tahun depan. Bagaimanapun kebanyakan firma penyelidikan menjangkakan bahawa pertumbuhan Malaysia adalah antara tiga hingga lima peratus.
Awal minggu lalu, Bank Dunia berkata ekonomi Malaysia dijangka terus perlahan pada tempoh berbaki tahun ini dan awal 2012 ekoran kemerosotan permintaan luaran dan menjangkakan pertumbuhan sekitar 4.9 peratus tahun depan.
Laporan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) September lalu menjangkakan pertumbuhan 5.2 peratus tahun ini dan 5.1 peratus pada 2012 bagi Malaysia.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menekankan bahawa Najib selalu mengelak daripada bercakap mengenai isu-isu berkaitan skandal kerajaan dan sentiasa membiarkan menteri atau timbalannya memberi respons.
“Sikap menjauhkan diri adalah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan beliau,” kata beliau sambil menambah, sikap terlalu berhati-hati itu akan membawa kesan berlawanan di kalangan pengundi dan pemimpin Umno sendiri.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai penggal pertama ini berkata, laungan tiba-tiba Najib dalam soal hak asasi manusia bertujuan mendapatkan sokongan di kalangan rakyat Malaysia kelas pertengahan yang menurutnya kebanyakan adalah penyokong Pakatan Rakyat.TheMalaysianInsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan