PULAI — Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata pihaknya sudah bersedia untuk menerajui Malaysia — menggantikan Umno — kerana parti teras BN itu bukan sahaja sudah hilang idealisme perjuangan tetapi juga muflis nilai dan moral bagi mempertahankan hak rakyat.
Berucap merasmikan serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita partinya di sini, Azmin menyenaraikan bahawa “Umno sekarang sudah tua yang antidemokrasi, antiintelektual, antihak asasi manusia, antipekerja, sarat dengan politik fitnah dan membudayakan rasuah.”
PKR, komponen Pakatan Rakyat mengadakan kongres tahunannya di Johor, kubu kuat Umno-BN di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat.“Umno hari ini anti-Melayu, mereka telah membunuh ciri-ciri Melayu yang dianjurkan Islam dan mempertahankan perjuangan kuku besi dan mencabuli hak asasi manusia.
“Transformasi politik Umno telah gagal dan tidak mempunyai iltizam politik, kemenangan Pakatan Rakyat adalah kemenangan untuk rakyat menolak Umno,” katanya sewaktu ucapan tersebut.
Menurut Azmin lagi, ruang demokrasi di negara ini semakin disempitkan oleh Umno melalui beberapa peruntukan dan undang-undang yang dibuat parti itu yang secara jelas memperlihatkan transformasi politik yang dicanangkan Perdana Menteri Najib Razak menunjukkan kegagalan.
“Pemansuhan ISA adalah satu penipuan Umno apabila 13 orang di Sabah ditahan di bawah akta tersebut, lebih malang lagi, apabila akta baru yang menggantikan ISA tetap mengguna pakai elemen tanpa bicara yang bertentangan dengan ‘fundamental liberties’.
“Akta Perhimpunan Aman juga bertentangan dengan hak dan ruang berhimpun untuk rakyat dan sistem demokrasi negara diburukkan lagi dengan isu AUKU-UKM4 yang mana kerajaan secara jelas meremehkan isu ini,” kataya lagi.
Justeru, jelasnya, Pakatan Rakyat dan PKR akan melaksanakan transformasi dan reformasi dalam memperbaiki sitem pendidikan negara berikutan pendidikan merupakan teras kepada pembangunan demokrasi.
“Pendidikan yang bebas daripada pengaruh politik akan membolehkan perkembangan ilmu berlangsung dengan baik,” katanya lagi.
Menyentuh perihal pilihan raya yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat, Azmin mengingatkan setiap sayap parti itu agar menggerakkan kekuatan mereka supaya berterusan kepada momentum yang sedia ada.
“Setiap sayap parti memainkan peranan penting bagi menjamin kemenangan parti. Kemenangan Pakatan Rakyat dan PKR adalah kemenangan untuk rakyat.
“Kemenangan Pakatan Rakyat dan PKR adalah kekuatan rakyat menolak kebobrokan dan menentang kezaliman Umno,” katanya.
Menurutnya, generasi muda berperanan penting memastikan perubahan dapat dilaksanakan dalam pentadbiran negara.
Perkembangan di seluruh dunia jelasnya, menyaksikan kebangkitan generasi muda meggerakkan perubahan dalam negara tersebut.
“Generasi muda perlu memastikan tekad untuk menerajui perubahan yang bakal berlaku, kita melihat generasi muda mempelopori gerakan perubahan yang berlaku di seluruh dunia, sebagai contoh, di Britain dan kebangkitan Arab Spring.
“Ini merupakan cermin anak muda yang menuntut supaya peranan mereka melakukan perubahan diiktiraf oleh kerajaan, dan melakukan perubahan terhadap negara yang zalim dan kejam terhadap rakyatnya,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan