Ahad, 27 November 2011

KEADILAN parti dari rakyat dan untuk rakyat- Tian Chua

Oleh: Ahmad Fadli

JOHOR BAHRU : Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menegaskan bahawa parti itu diasaskan bertitik tolak dari kebangkitan rakyat melawan kezaliman pemerintah.

Justeru itu katanya, pimpinan KEADILAN wajar mendengar pandangan dan hasrat yang disampaikan oleh rakyat.

“KEADILAN adalah parti aktivis, parti reformis, dan parti yang taat kepada prinsipnya,” kata Tian Chua dalam ucapan penggulungan perbahasan menyokong ucapan dasar Presiden, di Kongres KEADILAN Nasional ke 8.

Meminjam tema Hijrah, Tian Chua berkata pemimpin yang sudah memegang tanggungjawab tetapi lupa kepada akar umbi, ibarat mereka yang berhijrah tetapi tidak sempurna.

“Berhijrah sahaja tetapi lupa asal-usul adalah penghijrahan yang tidak sempurna.

“Kalau Nabi Muhammad berhijrah sahaja ke Madinah tetapi melupakan tanah Mekah yang perlu diselamatkan, baginda tidak akan berjaya membina ummah yang kuat dan bersatu,” kata Tian Chua.

Beliau seterusnya berpesan agar perwakilan kongres mengambil contoh daripada pemimpin-pemimpin yang digulingkan agar sentiasa mendengar suara rakyat.

“Pemimpin yang lupa perkara asas yang pokok akan digulingkan oleh rakyat,” kata Tian Chua.

Tiada ulasan: