Ahad, 27 November 2011

'Wasatiyyah' gagasan baru Umno lawan 1Malaysia?

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa hairan dan pelik apabila Umno yang selama ini terkenal sebagai parti bersifat perkauman cuba melancarkan gagasan wasatiyyah sebagai langkah ke arah mengambil jalan pertengahan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemunculan idea ini menandakan sesuatu yang tidak kena telah berlaku pada Umno masa kini.

“Adakah kemunculan gagasan wasatiyyah petanda Umno kini kian bergelora? Ataupun ada pemimpin yang tidak sabar menanti untuk menonjolkan kepimpinannya kepada ahli Umno sehingga melancarkan slogan baru yang lebih mudah difahami untuk memalukan slogan 1Malaysia yang sehingga kini masih belum difahami oleh rakyat.

"Apakah kerana ada pihak yang merasakan konsep 1Malaysia perdana menteri sudah hampir tenggelam sehingga mendorong mereka untuk mengemukakan idea gagasan wassatiyyah sebagai alternatif dan persediaan ke PRU13 tanpa slogan 1Malaysia? “katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas seminar kebangsaan anjuran Umno bertajuk 'Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia' sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di Kuala Lumpur semalam.

Sambil menegaskan bahawa wasatiyyah adalah satu asas penting selaras dengan gagasan Islam, namun apa yang dipersoal adalah kemampuan Umno untuk mengamalkan perinsip tersebut dalam keadaan perjuangan mereka tebal dengan sifat perkauman.

“Harus tegas diingatkan bahawa gagasan wasatiyyah wajib dibina di atas asasnya yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

"Akan tetapi, mana mungkin parti yang bersifat tebal perkauman dan sering flip-flop seperti Umno dapat mengambil jalan tengah dalam pendekatan politik dan urus tadbir negara," katanya.

Beliau memberikan contoh, tindakan Umno yang membiarkan beberapa badan NGO pro mereka terutamanya Perkasa, memainkan sentimen perkauman ekstrem bermotifkan politik yang jelas mencerminkan gagasan wasatiyyah yang diutarakan hanyalah slogan kosong, sebagaimana berakhirnya gagasan Islam Hadhari dan lainnya.

Menurut Tuan Ibrahim, gagasan wasatiyyah hanya akan dapat dicapai bilamana parti pemerintah melaksanakan sistem pemerintahan dengan adil dan saksama.

Selain itu, parti pemerintah mesti melaksanakan amanah yang diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana seluruh dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

“Parti pemerintah juga diwajibkan melaksanakan perjanjian seperti pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan menghormati dan menjunjung dasar federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Walau apapun, kata Tuan Ibrahim, gagasan wasatiyyah yang disebut Umno hanya sekadar pemanis bicara bagi memberi ruang kepada segolongan intelek berbicara.

Gagasan itu ujarnya tidak lebih dari sekadar wacana dan seminar tanpa apa- apa tindakan dan pelan bertindak.

“Selagi Umno terus dan masih gagal menunaikan amanah dan gagasan sistem federalisme yang telah diterima pakai dalam sistem politik negara, lancarlah apa- apa slogan sekalipun kerana ianya tidak lebih hanya fatamorgana, kosong yang tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat selain sebagai satu cubaan baru untuk memperdayakan mereka,” tambahnya.

Tiada ulasan: